tony pua Kerana DAP Pengecut, Rafizi & Saya Harus Buat 2 Debat & Bukan 1 - Eric See-To

Kerana DAP Pengecut, Rafizi & Saya Harus Buat 2 Debat & Bukan 1 – Eric See-To

Selepas semua kesombongan, gertakan dan gelaran buruk daripada beberapa jawapan Tony Pua, keputusan akhirnya masih DAP tidak berani berhadapan dengan soal jawab berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion.

Apabila menyentuh tentang projek ini, sebab-sebab yang beliau berikan untuk mengelakkan perdebatan termasuk “anda seorang nobody” dan “debat adalah untuk memperbodohkan rakyat” amat membingungkan.

Apabila BN menolak cabaran debat, Pakatan mendakwa BN mempunyai sesuatu untuk disembunyikan atau pengecut. Tetapi apabila Pakatan menolak cabaran debat BN, Pakatan mendakwa perdebatan adalah untuk memperbodohkan rakyat.

DAP kini mengatakan rakyat biasa adalah “nobody” dan oleh itu tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan kerajaan negeri yang ditadbir pihak pembangkang berhubung projek-projek mega yang melibatkan dana rakyat sehingga berbilion ringgit.

DAP memiliki segala hak di atas muka bumi untuk melakukan apa yang mereka mahu tanpa dipersoalkan atau disiasat.

Tony Pua kemudian berkata beliau tidak lagi menganggap saya seorang kawan kerana saya kini berenang dengan “jerung BN” tetapi tidak mendapati ianya hipokrit bahawa beliau kini berenang dengan jerung terbesar iaitu Pengerusi Pakatan Harapan.

Pada bulan Mei 2007 ketika Tony Pua belum lagi menjadi Ahli Parlimen dan hanya memegang jawatan penasihat ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, beliau membuat kenyataan kontroversi bahawa perkhidmatan awam perlu dikecilkan secara drastik kerana ia telah menjadi lambakan untuk graduan Melayu yang menganggur.

Apabila Khairy Jamaluddin yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu kemudiannya mengingatkan Tony Pua atas ucapan berbaur perkauman ini, Tony Pua mencabarnya untuk berdebat.

Apabila Khairy menolak, beliau tidak menggelar Tony Pua sebagai “nobody” di sebalik kedudukan jawatan Tony tetapi berkata ini adalah percubaan Tony Pua untuk mengalih perhatian daripada kenyataan perkaumannya.

Walaupun begitu, Tony Pua masih terus menganjurkan acara perdebatan dan meninggalkan kerusi kosong untuk Khairy.

Takut Untuk Berdebat, Tony Pua Sanggup Hina Rakan

Saya tidak akan terus mencabar Tony Pua kerana takut alasan-alasannya bagi mengelakkan debat akan menjadi semakin pelik. Saya juga tidak terlibat untuk memberi gelaran-gelaran buruk yang sama seperti yang dilakukan oleh Tony Pua kerana saya dapat lihat tiada gunanya mendesak seseorang jika dia sudah takut.

Saya memberi 3 hari untuk YB Rafizi Ramli untuk meyakinkan Tony Pua supaya berani menerima cabaran debat.

Sekiranya Rafizi gagal maka saya akan berdebat dengan Rafizi mengenai kedua-dua isu cukai dan juga terowong Pulau Pinang.

Rafizi sebagai “pakar segala pakar” yang kepakarannya meliputi dari perniagaan penternakan lembu, kepada kos pembinaan terowong MRT, kepada urusan pelaburan Tabung Haji dan perniagaan syarikat penerbangan, antara lain-lainnya, tidak akan ada masalah dengan debat projek Terowong Pulau Pinang.

Selepas 3 hari, Rafizi hanya perlu mendapatkan syarikat INVOKE beliau untuk menganjurkan kedua-dua perdebatan pada masa yang sesuai untuk kami berdua. Rafizi dan saya akan menganjurkan dua perdebatan dan bukan satu – dengan atau tanpa kehadiran DAP.

Oleh Eric See-To,
Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional