Khalid Ibrahim Cabar Teng Chang Khim Dedah Salah Laku Ketika Jadi MB

Khalid Ibrahim Cabar Teng Chang Khim Dedah Salah Laku Ketika Jadi MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mencabar EXCO kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim mendedahkan salah lakunya ketika menerajui kerajaan negeri itu.

“Teruskan…jangan hanya lakukan ugutan dan ancaman, tidak guna. Tindakannya lakukan ugutan hanya menunjukkan karakternya yang lemah,” kata bekas Menteri Besar Selangor itu selepas menghadiri program kutipan dana pilihan raya PAS di sini, hari ini.

Teng Chang Khim sebelum ini memberi amaran akan mendedahkan kelemahan peribadi dan urus tadbir Khalid Ibrahim ketika mengetuai kerajaan Selangor, susulan dakwaan beliau berada dalam senarai 4 bekas Menteri Besar Selangor yang akan membantu kemenangan Barisan Nasional di negeri itu.

Khalid Ibrahim Gesa PAS Halang Tawaran 10 Kali Ganda kepada SPLASH

Khalid Ibrahim bagaimanapun menepis spekulasi itu dengan menegaskan beliau tidak akan menyertai BN mahupun PAS, sebaliknya akan membantu PAS berkempen pada pilihan raya umum akan datang.

Teng Chang Khim merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan serta speaker Dewan Undangan Negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid Ibrahim.

Khalid menyertai UMNO sekitar 1990-an sebelum beralih ke PKR sekitar 2000. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor susulan kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada PRU 2008.

Bagaimanapun, Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR pada Ogos 2014 berikutan krisis dalaman parti reformasi itu.

Selepas disingkirkan dari pejabat Menteri Besar, Khalid Ibrahim dilihat sering mengikuti himpunan anjuran PAS, termasuk himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung di Terengganu pada akhir bulan lalu.

Sumber: FMT