Nyawa Politik Mahathir Pada Ihsan DAP

Nyawa Politik Mahathir Pada Ihsan DAP

Kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad ke ibu pejabat DAP baru-baru ini membuktikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu semakin hilang arah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia juga menunjukkan pemimpin pakatan pembangkang itu tidak boleh dipercayai apabila sanggup meraih sokongan parti yang pernah dilabelnya cauvinis suatu ketika dulu demi kepentingan politik peribadi.

Katanya, tindakan itu membuktikan Dr Mahathir percaya nyawa politik beliau hanya bergantung kepada ihsan DAP sehingga sanggup menjilat ludah sendiri.

Mahathir Tersungkur Dalam Agenda 'Malaysian Malaysia' DAP

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), berkata Dr Mahathir tiada pilihan kecuali mendapatkan sokongan DAP untuk membantu PPBM mendapat sokongan pengundi Cina.

“Sudah tentu Dr Mahathir terpaksa membayar harga yang tinggi jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan mengikut apa saja cakap DAP terutama Lim Kit Siang.

“Dengan kata lain, Dr Mahathir sanggup mendapatkan bantuan DAP yang dilabelnya dulu cauvinis untuk menjahanamkan kuasa politik UMNO yang inklusif untuk rakyat dan membenarkan dasar ‘Malaysian Malaysia’ kembali bertapak di Malaysia.

“Tindakan itu juga menambahkan lagi bukti kukuh selama ini bahawa beliau sudah hilang arah, tidak boleh dipercayai, suka membuat pusingan-U asalkan cita-citanya tercapai,” katanya.

Mahathir Wajar Bubarkan PPBM, Masuk DAP

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, tindakan Dr Mahathir membuktikan pemimpin itu mengamalkan politik oportunistik apabila sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan politik peribadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berkata perjuangan politik Pengerusi PPBM itu, sudah hilang seninya dan menjadi semakin kotor sehingga sanggup menggadai perjuangan.

“Saya mengikuti perjalanan politik beliau, saya jangka suatu masa nanti, DAP adalah mangsa beliau seterusnya.

“Kita tengoklah siapa yang lebih pantas, sama ada beliau mengenakan DAP atau DAP akan memperalatkan beliau. Justeru tiada keikhlasan dalam politik oportunistik,” katanya.