Orang Bugis Di Indonesia Desak Mahathir Minta Maaf

Orang Bugis Di Indonesia Desak Mahathir Minta Maaf

Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia (PPBMI) di Jakarta hari ini mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf secara terbuka ekoran kenyataan menghina keturunan Bugis dalam satu perhimpunan di Selangor baru-baru ini.

PPBMI membuat desakan itu menerusi satu memorandum bantahan yang diserahkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia lewat petang tadi.

Ketua Umum PPBMI Arwin Welhalmina dalam kenyataannya berkata, Dr Mahathir telah merendahkan taraf dirinya sendiri sebagai bekas perdana menteri apabila mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap sesuatu keturunan.

Beliau berkata, keturunan Bugis adalah satu bangsa yang diasporanya berjaya di seluruh dunia dan Dr Mahathir harus sedar bahawa Bugis adalah etnik yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan dan kesultanan Melayu.

Katanya, walaupun tujuan Dr Mahathir mengaitkan keturunan Bugis kerana mahu menyinggung perasaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi penghinaan yang dibuat itu menyinggung perasaan keturunan Bugis di seluruh dunia terutamanya di Indonesia.

Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan pada 14 Okt mengaitkan keturunan Najib dengan menyebut sebagai keturunan “lanun Bugis”.

Arwin berkata, pihaknya mendesak Dr Mahathir memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu atau pihaknya akan membuat demonstrasi besar-besaran di hadapan kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai menzahirkan bantahan mereka.

Akibat Mulut Celupar Mahathir, Kedutaan Malaysia Di Jakarta & Makassar Diancam Bom

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Bernama, Dr Mahathir harus membuat permohonan maaf segera atas keterlanjurannya itu kerana ia membawa masalah kepada rakyat Malaysia di Indonesia.

“Sebagai seorang negarawan, Dr Mahathir tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata seumpama itu dan kini beliau meletakkan pihak kedutaan dan rakyat Malaysia dalam bahaya kerana kata-katanya telah menimbulkan kemarahan rakyat tempatan yang berketurunan Bugis,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir harus bertindak bijak untuk menjaga hubungan dengan negara jiran dan tidak bercakap sesuka hati yang boleh mengeruhkan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua buah negara.