peter anthony Orang Kuat Shafie Apdal Ditahan SPRM, RM179 Juta Dirampas

Orang Kuat Shafie Apdal Ditahan SPRM, RM179 Juta Dirampas

Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony (sebelah kiri) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang Khamis selepas hadir memberi keterangan kepada agensi penguatkuasaan itu di Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber-sumber memberitahu, ahli perniagaan itu yang kini seorang ahli politik dijangka akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok untuk direman.

Peter sebelum ini didakwa menerima pelbagai projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika diterajui Datuk Seri Shafie Apdal.

Sementara itu, SPRM setakat ini berjaya merampas RM179 juta termasuk RM29 juta yang dibekukan hari ini. Semalam, media melaporkan SPRM berjaya merampas wang tunai RM150 juta selepas melakukan serbuan di 15 lokasi di sekitar Sabah.

Akhbar The New Straits Times hari ini turut melaporkan siasatan SPRM itu tercetus selepas menerima makluman dari sistem amaran Laporan Transaksi Mencurigakan Bank Negara Malaysia (BNM) serta maklumat orang awam.

Ia mendedahkan mereka yang terlibat dalam rangkaian rasuah ini telah songlap wang rakyat tidak kurang dari RM100 juta.

Ia dikatakan hasil dari projek bernilai antara RM500 juta hingga RM1 bilion. Projek terbabit termasuk perlaksanaan program makanan bagi pelajar miskin dan inisiatif bagi menyediakan kemudahan asas bagi penduduk pendalaman termasuk bekalan air, elektrik dan jalanraya.

SPRM dijangka membuat lebih banyak tangkapan pada masa terdekat ini.

Sumber: My Nation News