Penang Hills Watch Terima Lebih 150 Laporan Kerja-Kerja Di Kawasan Bukit

Penang Hills Watch Terima Lebih 150 Laporan Kerja-Kerja Di Kawasan Bukit

Penang Hills Watch (PHW) iaitu inisiatif yang digerakkan pertubuhan Pe­nang Forum bagi membolehkan penduduk negeri ini berkongsi aktiviti pencerobohan bukit me­nerima lebih 150 laporan daripada orang ramai sejak mula dilancarkan kira-kira setahun lalu.

Seperti tertera pada laman webnya di https://hillclearinginpenang.ushahidi.io, hampir majoriti laporan yang diterima itu membabitkan bahagian pulau negeri ini.

Kerja-kerja tanah di kawasan bukit itu pula dibahagikan kepada empat kategori iaitu projek yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pencerobohan haram yang direkodkan PBT.

Dua lagi kategori adalah aktiviti pembersihan kawasan bukit bagi kerja-kerja pembinaan dan aktiviti pertanian yang dipantau orang awam.

Bagi kategori kerja-kerja pembangunan di kawasan bukit, PWH menerima sekurang-kurangnya 38 laporan daripada orang awam termasuk dua aktiviti yang dikesan di bahagian Perai.

Lokasi yang paling banyak dikesan berlakunya kerja-kerja tanah itu adalah di Tanjung Bu­ngah dengan kawasan berlakunya tragedi tanah runtuh yang me­nimbus 11 pekerja pagi semalam turut termasuk dalam aduan yang dibuat penduduk kepada PWH.

Lim Guan Eng Kata 'Bukit Botak' Tak Wujud, Maka Ambiga Pembohong & Kroni BN?

Bertindak daripada laporan yang diterima menerusi PWH itu, Penang Forum pada 3 April lalu menyerahkan laporan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang de­ngan membawa 12 kes yang dite­rima untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam satu kenyataan, Pe­nang Forum berkata, apa yang mengejutkan, daripada maklum balas diterima, kesemua 12 kes itu disahkan merupakan aktiviti pencerobohan haram.

“Daripada jumlah itu, tujuh kes melibatkan kawasan persendirian termasuk satu bekas tapak kuari.

“Lima kes pencerobohan hutan pula berlaku di atas tanah milik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika itu memaklumkan sudah merujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” demikian menurut kenyataan tersebut.