syed saddiq PRU Sudah Dekat, Kalau Pergi Oxford, Macam Mana Nak Jadi YB

PRU Sudah Dekat, Kalau Pergi Oxford, Macam Mana Nak Jadi YB

Sidang media Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menangguhkan  kemasukan ke Universiti Oxford  disifatkan ramai pihak sebagai drama beliau untuk mendapatkan perhatian.

Sungguhpun ramai yang menyokong keputusan Syed Saddiq, tidak kurang juga dalam kalangan pembangkang mengkritik sidang media Ketua Armada itu bagi mengumumkan apa yang digelar beliau sebagai ‘pengorbanan’.

Pengorbanan Syed Saddiq Tak Perlu Sidang Media, Sindir Aktivis Hak Asasi

“Kenalah faham, pilihan raya mungkin berlaku semasa beliau di Oxford. jadi mestilah dikorbankan (pengajian). (Jika tidak) macam mana nak jadi YB (wakil rakyat),” ujar pengguna Facebook terhadap status aktivis pembangkang dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nalini Elumalai.

Netizen tidak menafikan pengorbanan Syed Saddiq untuk berjuang demi rakyat namun menganggap penganjuran sidang media semata-mata untuk mengumumkan beliau menolak tawaran ke Universiti Oxford demi mendapatkan publisiti.

“Benar ianya satu pengorbanan, tetapi dia menggunakannya untuk mendapatkan publisiti. Dan seperti anda (Nalini) katakan, ramai yang telah membuat pengorbanan, (pengorbanan) beliau (Saddiq) bukan istimewa,” ujar Lee Choon Fai.

Komen-komen berkenaan ditujukan kepada Syed Saddiq daripada status Nalini yang turut membidas ‘drama’ Ketua Armada PPBM itu.

Menurut beliau, Syed Saddiq bukanlah satu-satunya orang yang membuat pengorbanan ekoran ramai lagi berbuat demikian sejak sekian lama.

“Ada yang berkorban nyawa, ramai telah berkorban kebebasan mereka, ramai telah berkorban kehidupan dan hidup dalam kesederhanaan demi tujuan yang dipercayai mereka.

“Mereka tidak buat sidang media untuk mengumumkan mereka telah mengorbankan sesuatu! Tolonglah! Kamu masih muda, banyak lagi peluang menunggu kamu di luar sana,” tambah Nalini.

Tambah beliau, sebarang keputusan dibuat Syed Saddiq adalah demi dirinya sendiri dan tidak perlu mengumumkannya kepada orang ramai demi memperlihatkan diri kamu mulia.

“Setiap rakyat Malaysia perlu berkorban sesuatu demi melihat perubahan sebenar. #duh,” tegas Nalini lagi.

Sumber: Malaysian Digest