shahrir samad Rafizi Tertidur 3 Bulan, Bukan Tidak Tidur 48 Jam - Pengerusi FELDA

Rafizi Tertidur 3 Bulan, Bukan Tidak Tidur 48 Jam – Pengerusi FELDA

Barangkali terkesan dengan sindiran Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad yang menyifatkannya sebagai akauntan setengah masak, Rafizi Ramli cuba menegakkan benang basah dengan kenyataan seolah-olah beliau mempunyai cukup bukti mengenai akaun Hotel Bayswater.

Malah Naib Presiden PKR itu yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa tidak tidur 48 jam untuk mencari bukti-bukti berkaitan syarikat yang terbabit dengan hotel tersebut serta meminta FELDA menjelaskan mengenai maklumat terbarunya itu.

Berikut jawapan Shahrir Samad berhubung kenyataan terbaru Rafizi mengenai isu tersebut:

“Saya tak tahu samada nak ketawa atau nak menangis bila membaca komen YB Rafizi yang terbaharu terhadap pelaburan FELDA di London.

“Kali ini, YB Rafizi berkata dia tidak tidur 48 jam membuat penyelidikan dan penyiasatan termasuk kononnya kaedah reverse accounting terhadap akaun FELDA.

“Sebenarnya pada saya, YB Rafizi macam tertidur 3 bulan bukan tidak tidur 48 jam.

“Ini kerana kenyataan terbaharu YB Rafizi semacam dia tidak sedar bahawa tepat 3 bulan dulu, pada 13hb Julai 2017, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan bahawa mereka telah menerima maklumat baharu dan oleh yang demikian akan kembali menyiasat pembelian hotel Grand Plaza Kensington oleh FIC, sebuah syarikat pelaburan milik penuh FELDA.

“Pihak SPRM telah menyatakan kemungkinan besar pembelian hartanah itu dilakukan pada harga melebihi nilai pasaran semasa hingga mengakibatkan kerugian besar kepada FELDA.

“Semenjak kenyataan itu, SPRM telah menahan beberapa orang untuk disoal siasat. Penyiasatan itu tertangguh seketika kerana pihak SPRM perlu ke London juga untuk menyoalsiasat pihak tertentu di kotaraya itu.

“Berbeza dengan SPRM, YB Rafizi telah menyamakan kes pembelian hartanah Kensington ini dengan kes NFC.

“Rafizi juga turut yakin yang Pakatan Harapan akan menang pada PRU14 dan demikian akan mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri dan pengerusi-pengerusi FELDA termasuk saya berasaskan kerja kuatnya tanpa tidur berterusan selama 48 jam.

“Berikutan pengumuman penyiasatan SPRM pada Julai lalu, saya telah menyatakan sokongan saya sebagai Pengerusi FELDA kepada penyiasatan itu dan FELDA akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan penyiasatan tersebut.

“Dalam soal Grand Plaza di Bayswater, YB Rafizi cuba mewujudkan keadaan misteri dengan penyelidikan ‘setengah masak’ atau ‘half-baked‘ dengan merujuk kepada hanya sebahagian akaun dan tidak kepada akaun yang sepenuhnya.

rafizi Mohon Sumbangan Bayar Saman, Ke Mana Wang Itu Hilang?

“Kali ini pula, kenyataannya mengenai hartanah Kensington jelas menunjukkan tempoh 48 jam beliau menyengkang mata adalah sia-sia sedangkan dia sebenarnya tertidur selama 3 bulan semenjak SPRM memulakan penyiasatan kes pembelian hartanah Kensington.

“Adalah lebih bermanfaat dan berbaloi kepada orang ramai yang menyumbang duit mereka kepada INVOKE kalau Rafizi tak tidur semenjak Julai lalu.

“Ini samalah juga seperti keadaan Rafizi tidak sedar yang akaun 2015 FELDA telah disampaikan kepada Parlimen.

“Yang misteri sebenarnya ialah mengapa Rafizi tertidur tiga bulan tapi sanggup tak tidur 48 jam.

“Bagi saya Rafizi juga sudah mudah lupa seperti bos barunya Tun Dr Mahathir Mohamad dan INVOKE beliau tidak sehebat siasatan oleh SPRM.

Sumber: BNBBC