najib Rekaan Konsep Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura

Rekaan Konsep Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura

Hari ini kita meraikan satu peristiwa penting dalam perjalanan transformasi Malaysia ke arah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Membina momentum ke arah meningkatkan tahap Malaysia, kita telah menandatangani Perjanjian Dua Hala dengan Singapura kurang setahun yang lalu untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan hari ini kita terus bergerak semakin dekat dengan kereta api berkelajuan tinggi bertaraf dunia di negara kita.

Berlandaskan Program Transformasi Ekonomi atau ETP, yang telah menyaksikan 2.26 juta pekerjaan dicipta sejak enam tahun yang lalu, sambil mengekalkan kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, kita telah menyaksikan pertumbuhan yang sihat walaupun pada masa ketidakpastian untuk ekonomi global.

Keretapi berkelajuan tinggi ini pastinya akan menyumbang kepada prospek positif jangka panjang kepada ekonomi kita kerana ia berpotensi merevolusi ketersampaian di koridor barat daya Semenanjung, memberi kesan kepada cara kita menjalankan perniagaan dan cara kita berinteraksi antara satu sama lain.

Bayangkan perjalanan ke Singapura dalam masa 90 minit dari Bandar Malaysia, menjadikan konsep dunia tanpa sempadan dari sudut pengangkutan satu realiti. Dalam mengekalkan konsep perjalanan yang lancar, kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan ditempatkan di Bandar Malaysia, Iskandar Puteri dan Jurong East, Singapura. Ini bermakna penumpang antarabangsa hanya perlu menjalani kedua-dua pelepasan CIQ Singapura dan Malaysia pada tempat perlepasan.

Pembangunan ikonik ini akan menjadi faktor perubahan dalam permainan yang sebenar bagi negara ini dan akan mempunyai pelbagai manfaat positif bagi rakyat dari permulaan pembinaannya lagi. Ia merupakan projek InfraRakyat yang diilhamkan bukan sahaja untuk menyediakan mod perjalanan alternatif antara dua ekonomi yang paling dinamik di Asia Tenggara, tetapi lebih penting lagi ia merupakan penggerak teras wawasan ETP untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, setaraf dengan negara-negara dunia pertama yang lain.

Oleh itu, ini adalah satu projek yang sangat dekat dengan hati saya. Sejak dari permulaannya, saya telah terlibat dengan sangat dekat daripada permulaan ideanya sehingga menjadikannya satu realiti, dan saya gembira bahawa hari ini saya dapat berkongsi dengan anda dengan lebih terperinci, reka bentuk dan suasana HSR KL-Singapura , dari segi konsep dan reka bentuk stesen.

HSR Kuala Lumpur – Singapura menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur, Bangi dan Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Penyelidikan yang meluas dan usaha yang bersungguh telah diberikan untuk setiap reka bentuk stesen HSR untuk memastikan ia mencerminkan secara dinamik kekayaan warisan dan kepelbagaian budaya di Malaysia. Pasukan pereka bentuk mengambil pendekatan suatu perjalanan (MYJourney) dan menyentuh tujuh tema utama iaitu MYGateway, MYPeople, MYVision, MYHeritage, MYFuture, MYCulture dan MYEncounter, dan memasukkan mereka ke tujuh stesen sepanjang laluan tersebut. Reka bentuknya bukan sahaja menyerlahkan unsur-unsur unik bandar masing-masing, tetapi juga memberikan keunggulan kepada kreativiti dan inovasi, sambil kita bergerak ke masa depan.

Saya secara peribadi telah terlibat dalam memastikan setiap reka bentuk stesen mengekalkan refleksi kuat identiti dan warisan Malaysia sambil kekal moden dan futuristik, dan saya dengan sukacitanya berkongsi dengan anda konsep reka bentuk beberapa stesen itu.

Hentian pertama ialah stesen Bandar Malaysia. Dengan Kuala Lumpur sebagai ibu kota dan pintu gerbang, reka bentuk stesen Bandar Malaysia adalah tafsiran semula pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak – satu simbol perpaduan dari semua lapisan masyarakat.

Stesen Bandar Malaysia

Untuk stesen Bangi-Putrajaya, yang terletak di sempadan antara Selangor dan Putrajaya, reka bentuk stesennya merangkumi pengaruh butiran seni bina Islam yang megah dan rumit. Sementara itu, reka bentuk stesen Seremban diilhamkan oleh kemegahan istana raja Sri Menanti dan kehijauan tropika yang subur di Malaysia Vision Valley.

Bagi Melaka, inspirasi diambil dari sejarah Melaka sebagai pelabuhan perdagangan yang strategik pada zaman kegemilangannya, maka reka bentuk stesen Melaka diambil dari imej kapal dagang, yang melambangkan semangat keusahawanan masyarakat setempat.

Stesen Seremban (kiri atas), Stesen Melaka (kanan), Stesen Bangi-Putrajaya (kiri bawah).

Bergerak ke selatan ke negeri Johor, unsur-unsur terkaya budaya Melayu dicerminkan di sini dengan Stesen Muar yang diilhami oleh papan rehal, yang secara tradisinya digunakan untuk meletakkan al-Quran ketika pelajar belajar membacanya. Reka bentuk ini melambangkan betapa pentingnya pembelajaran dalam budaya kita sejak dahulu lagi, dan terus menjadi tonggak identiti kita sekarang dan masa hadapan.

Stesen Batu Pahat, yang diilhamkan oleh ‘Kuda Kepang’, melihatkan keseimbangan antara warisan dan pemodenan. Dan akhirnya, stesen Iskandar Puteri, diilhamkan oleh gambaran berjabat tangan, menandakan peranan Iskandar Puteri sebagai bandar serantau untuk perdagangan, untuk urusan perniagaan masa depan dan pertemuan antarabangsa yang digabungkan dengan daya tarikan dan kemesraan Malaysia.

Stesen Muar (kiri), Stesen Batu Pahat (kanan atas), Stesen Iskandar Puteri (kanan bawah).

Saya yakin bahawa anda semua teruja dengan konsep reka bentuk tujuh stesen ini. Dan ada lebih banyak lagi yang akan membuatkan anda lebih teruja. Stesen-stesen ini adalah demonstrasi komitmen kita untuk pembangunan yang maju, inovatif dan bersepadu di kawasan sekitar atau lebih dikenali sebagai Pembangunan Berorientasikan Transit atau TOD.

Dari awal lagi, HSR KL-SG bukanlah semata-mata satu projek pengangkutan. Ia merupakan projek yang menumpukan untuk menyediakan peluang-peluang penting dan tiada batasan bagi seluruh negara. Visi kami adalah untuk setiap stesen HSR menjadi hab dan gerbang kepada bandar-bandar Malaysia yang paling moden dan maju, satu elemen yang sama penting yang akan mendorong Malaysia ke arah mencapai aspirasi TN50. Selain daripada merevolusi ketersampaian antara dua kuasa ekonomi utama di Asia Tenggara, HSR KL-SG pada dasarnya akan menggabungkan bandar-bandar, yang dapat mendapat manfaat daripada jaringan aglomerat permintaan pasaran yang lebih besar, bekalan bakat yang lebih luas, infrastruktur dan kluster peluang perniagaan.

Bagi negara pula, Malaysia akan diletakkan sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, menyediakan peluang pelaburan dan kepelbagaian pelaburan yang lebih luas. Untuk mencapai matlamat ini, kami sedang membangunkan HSR Corridor Socio-economic Development Programme (SDP). SDP ini akan menumpukan kepada tiga komponen utama; Ekonomi, Keterangkuman dan Kemapanan. Di bawah penekanan utama tumpuan kepada ekonomi, keutamaan subsektor ekonomi akan dipercepat dengan pendekatan yang fokus dan disasarkan. Komponen keterangkuman memberi tumpuan kepada latihan kemahiran dan akses kepada pekerjaan, peluang keusahawanan dan perumahan yang mampu dimiliki; manakala komponen kemampanan memberi tumpuan kepada Pembangunan Berorientasikan Transit, pengangkutan awam dan pelaksanaan bandar karbon rendah.

Kami sangat teruja untuk melihat permulaan projek ini yang telah diperkatakan di seluruh dunia untuk beberapa ketika. Saya dengan senang hati melaporkan bahawa detik itu semakin dekat, dan ia seperti yang dirancangkan.

Pertamanya, saya baru sahaja meluluskan Rancangan Keretapi yang membuka jalan kepada Pemeriksaan Awam yang akan bermula pada 1 November 2017 untuk tempoh 3 bulan. Latihan ini berfungsi sebagai saluran bagi orang ramai untuk berkongsi maklum balas, cadangan atau menimbulkan sebarang kebimbangan mengenai projek dan penjajaran yang dicadangkan.

Kiosk maklumat dan pemeriksaan akan diletakkan di lokasi utama di semua negeri di sepanjang koridor HSR. Saya sangat menggalakkan anda untuk melawat kiosk-kiosk ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek ini dan berkongsi maklum balas atau kebimbangan anda mengenai projek HSR KL-SG.

Di samping itu, proses pengambilan tanah untuk projek itu juga telah dimulakan. Bermula dengan proses Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960, MyHSR sedang mengemukakan permohonannya kepada pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan untuk tujuan pembekuan tanah, proses penting untuk mengkaji daya maju kawasan-kawasan yang telah dipilih. Kemudian kawasan-kawasan terpilih ini akan diperhalusi untuk mencerminkan maklum balas orang ramai mengenai penyelarasannya. Selepas itu, kawasan tanah yang dimuktamadkan ini akan diperoleh untuk projek itu.

MyHSR Corp juga telah menyediakan hotline untuk kemudahan rakyat untuk berkongsi maklum balas dan kebimbangan mereka. Sekali lagi, saya menggalakkan semua orang menggunakan talian ini untuk berkongsi maklum balas anda. Malaysia sedang bergerak ke landasan yang betul untuk menjadi negara yang lebih baik dengan masa depan yang cerah. Projek ini adalah pemangkin ke arah itu, dan semua akan melihat bagaimana kita melaksanakan dan menyampaikannya kepada rakyat.

Oleh itu, saya meminta sokongan, kerjasama, pengetahuan dan kepakaran bersama dari semua pemegang kepentingan HSR KL-SG untuk memastikan penyerahan projek kereta api ikonik ini dengan lancar dan berjaya menjelang 2026. Saya percaya kita boleh melakukannya, dan kita boleh menetapkan contoh bagaimana projek mega seperti ini dapat dihantar dengan cekap dan tepat pada masanya untuk kepentingan negara dan rakyat. Saya sangat tidak sabar untuk memulakan projek itu pada tahun depan, dan saya harap anda semua, bersama-sama dengan semua rakyat akan bersama-sama dengan saya dalam perjalanan untuk membina HSR KL-Singapura yang ikonik ini.

Oleh Najib Razak,
Perdana Menteri Malaysia