Roboh Rumah Bekas Pegawai Masjid Subang, Pemimpin PAN Doa Kerajaan Azmin TumbangRoboh Rumah Bekas Pegawai Masjid Subang, Pemimpin PAN Doa Kerajaan Azmin Tumbang

Roboh Rumah Bekas Pegawai Masjid Subang, Pemimpin PAN Doa Kerajaan Azmin Tumbang

Pimpinan Amanah Selangor dan pusat kelihatan turun padang untuk menyaksikan perobohan rumah bekas pegawai (kuarters) masjid di Lapangan Terbang Subang, hari ini.

“Sedih. Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub: Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman: Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim dan pimpinan PSM telah berusaha keras menangguhkan dan menghalang pihak berkuasa merobohkan rumah bekas pegawai Masjid Subang tengah hari tadi, Rabu 4 Okt 2017, malangnya ianya gagal.

“Sembilan orang ditahan 5 daripadanya pemimpin dan aktivis PSM,” kata Penyelaras Amanah Parit, Tarmizi Mohd Jam dalam Facebook.

Ia merujuk kepada operasi merobohkan kediaman dua orang bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang, pagi tadi yang telah mendiami rumah itu sejak 24 tahun lalu.

Dua bekas pegawai masjid itu ialah Abdul Razak Said dan Yaakob Abdul.

Roboh Rumah Bekas Pegawai Masjid Subang, Pemimpin PAN Doa Kerajaan Azmin Tumbang

“Meskipun ia tanah Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB), namun Selangor adalah negeri Pakatan. Apa pun alasannya, perobohan rumah tidak harus berlaku, sementara ia masih di peringkat mahkamah dan isu pampasan dan kediaman alternatif belum dimuktamadkan.

“Setelah selesai rumah dan gerai dirobohkan, baru diumum formula penyelesaiannya. Damage telah berlaku.

“Sekadar mengingatkan Sang Penguasa di Selangor, ‘Doa orang yang dizalimi, tiada hijab di sisi Allah’,” kata Ahli Jawatankuasa Amanah Pusat, Mazlan Alimin dalam Facebook.

Roboh Rumah Bekas Pegawai Masjid Subang, Pemimpin PAN Doa Kerajaan Azmin Tumbang

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan pula mengecam Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat berdiam diri dan tidak mahu campur tangan dalam isu tersebut.

“Sehingga rumah dirobohkan, dan penahanan 9 orang dibuat, tiada langsung arahan Menteri Besar Selangor untuk hentikan perobohan! Walaupun sekarang ada dakwaan baru kononnya YAB Menteri Besar arahkan perobohan dihentikan tetapi perobohan telah dilaksanakan oleh PTG.

“Kesahihan dakwaan ini perlu dikenal pasti. Namun cerita ini tidak masuk akal kerana, isu tanah dibawah kuasa Negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tiada pihak walaupun pegawai Kerajaan Persekutuan boleh buat apa-apa atas tanah negeri tanpa kebenaran dari Kerajaan Negeri.

“Lagipun, isu ini telah dibawa ke perhatian Menteri Besar Selangor Dato’ Azmin Ali sejak November 2016. Sehingga hari ini langsung tiada tindakan dari Kerajaan Negeri Selangor. Malah semalam, Setiausaha Agung Sivarajan Arumugam telah hubungi PA Menteri Besar, YB Suhaime, namun beliau mengatakan perobohan akan diteruskan.

“Alasan Kerajaan Selangor adalah isu ini bukan di bawah kuasa Kerajaan Negeri Selangor. Ini adalah satu penipuan. Pentadbiran tanah adalah sepenuhnya dibawah kuasa Kerajaan Negeri. Semua perkara berkenaan dengan tanah adalah disenaraikan dalam Jadual Kesembilan Senarai Kedua iaitu Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

“Maka apa pun Kerajaan Persekutuan hendak buat di sesuatu negeri, mestilah melalui dan dengan persetujuan Pengarah Tanah Negeri (Pegawai Daerah) di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Maka dalam isu ini Kerajaan Negeri mempunyai kuasa penuh untuk menghentikan perobohan ini,” katanya.

Sumber: AIDC