Saya Akan Bantu Bangunkan Kelantan - Najib

Saya Akan Bantu Bangunkan Kelantan – Najib

Putrajaya akan melakukan pembangunan yang lebih adil dan inklusif di seluruh negara, bukannya hanya fokus kepada Lembah Klang dan negeri di pantai barat, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib berkata sebagai contoh, Kelantan yang dianaktirikan dan disekat dana pembangunan serta tidak dinaikkan taraf infrastruktur air mereka selama beberapa dekad oleh seorang bekas pemimpin kerana ia diperintah oleh parti pembangkang.

“Bagi saya, ini tidak adil, kerana air bersih adalah penting untuk kehidupan dan hak semua rakyat Malaysia. Oleh itu, kita membantu Kelantan dengan perjanjian penstrukturan semula air tahun lepas yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion,” katanya menerusi tulisan di blognya hari ini.

Beliau berkata kerajaan membina Lebuhraya Central Spine Road bebas tol bagi menghubungkan Kelantan dengan seluruh Semenanjung, manakala fasa 3 Lebuhraya Pantai Timur akan dilanjutkan ke Kelantan.

“Projek Laluan Keretapi Pantai Timur atau ECRL pula akan menjadi satu lagi ‘game-changer’ untuk negeri-negeri pantai timur,” katanya.

Menjawab Serangan Propaganda Sempit Pakatan Tentang ECRL

Najib berkata bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan persekutuan sebelum ini tidak pernah menyediakan begitu banyak peruntukan tahunan dan projek pembangunan bagi mereka.

“Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi pemacu utama bagi pembangunan dan perhubungan di Malaysia Timur,” katanya, menambah kerajaan berusaha untuk bersikap adil kepada semua negeri termasuk yang dipegang oleh pembangkang.

Beliau berkata kerajaan membuat perjanjian penyusunan semula air dengan Pulau Pinang dan Selangor untuk membantu mereka mengurangkan hutang negeri dan menyediakan pembaharuan infrastruktur bekalan air yang diperlukan.

“Dalam kes Pulau Pinang, pakej penstrukturan semula air pada 2010 melibatkan bantuan kepada kerajaan negeri bagi mengurangkan hutang mereka RM655 juta, sambil memberi mereka geran tambahan RM1.2 bilion untuk membesarkan lagi empangan.

“Ini membolehkan kerajaan negeri DAP bermegah bahawa kononnya mereka mengurangkan hutang negeri mereka sebanyak 95%, padahal ini sebenarnya disebabkan oleh usaha kerajaan persekutuan,” katanya.

Sumber: TMI