Ajar Remaja 'Zina' Secara Selamat, Syed Saddiq Terus Dikecam

Ajar Remaja ‘Zina’ Secara Selamat, Syed Saddiq Terus Dikecam

Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan cadangannya untuk mendidik remaja kaedah seks selamat sebagai jalan penyelesaian kepada gejala pembuangan bayi dan peningkatan kes HIV di Malaysia.

Menerusi ‘thread’ twitter terbarunya, Syed Saddiq berkata kebanyakan anak muda kini tidak diajar kaedah mencegah ataupun didedahkan kepada kumpulan sokongan yang wujud untuk membantu mereka sekiranya terjebak dalam kejadian kandungan luar nikah atau menghidapi penyakit kelamin (STD).

Tidak menolak kepentingan didikan agama, Syed Saddiq berkata didikan cara-cara melakukan seks dengan selamat juga penting.

“Kita boleh manfaatkan kedua-dua cara. Tak perlu nak halalkan zina, tetapi mengajar semua pihak tentang implikasi seks sebelum kahwin dan seks tidak selamat. Ianya perlu menyeluruh.

“Di dewan rakyat baru-baru ini, dibongkarkan bahawa majoriti kes pembuangan bayi datang dari keluarga Melayu.

“Kebanyakan anak muda yang tidak pernah dididik (prevention) atau pun faham aka support structures yang wujud untuk bantu mereka juka wujudnya kesilapan seperti ini,” tweet beliau.

Masih menegakkan benang yang basah, tweet Syed Saddiq mendapat perhatian seorang pelajar perubatan yang mengecam cadangan liberal berkenaan.

Pelajar yang menggunakan ‘tweet handle’ @Azpapip menjelaskan, kes pembuangan bayi dalam kalangan Melayu tinggi ekoran jumlah penerima rawatan di hospital kerajaan juga tinggi, dan diikuti oleh kaum-kaum lain.

“Ini juga termasuk, anak diluar pernikahan, atau kes pengguguran. Apabila perkara ini berlaku, tidak bermaksud ianya tidak berlaku dalam kalangan bukan melayu, ada dua perkara yang anda perlu tahu,” ujarnya.

Dua perkara dimaksudkan beliau adalah, bukan Melayu lebih memilih perkhidmatan swasta dimana untuk melakukan sukar dikesan oleh Kementerian Kesihatan, berbanding masyarakat Melayu jarang melihat kes pengguguran diatas faktor agama Islam yang melarang daripada perkara tersebut.

“Kesannya, dewan rakyat pun cakaplah semua Melayu banyak anak luar nikah,” katanya.

Tambahnya lagi, didikan ‘seks selamat’ tidak akan menghalang daripada penularan STD dan sukar untuk membendung kandungan di luar nikah.

“Kita bukan seperti US dimana mereka tidak kisah akan keturunan dan moral anak mereka. Sex bebas, selamat atau tidak selamat. Jika mereka menggugurkan kandungan atau menghidap STD, mereka tidak kisah asalkan mereka mempunyai wang untuk dirawat di hospital. Acuan kita berdepan masalah ini berbeza di Malaysia,” katanya lagi.

Bagi pandangan agamawan, seruan oleh Syed Saddiq ibarat konsep ‘menghalalkan apa yang Allah haramkan’.

Ahli Majlis Ulama Isma, Ustaz Bilal Jailani mengulas, konsep menghalalkan yang haram wujud dalam Islam tetapi hanya diaplikasikan dalam keadaan darurat sahaja.

“Kaedah “Darurat menghalal suatu keharaman” hanya boleh diaplikasi apabila kita telah mencuba segala cara halal, segala usaha patuh syariah, tetapi masih gagal menemui jalan keluar kepada kehancuran, kecelakaan dan kemusnahan Maqasid Lima.

“Maka soalan yang timbul; adakah Tuhan membenarkan kita menghalal zina atas dasar darurat, sedangkan kita mewujudkan persekitaran yang penuh dengan ransangan seks seperti iklan coli dan lingerie, laman-laman lucah, rancangan TV gusti perempuan, acara sukan renang dan gimnastik?” soalnya.

Jelasnya, Islam sendiri sudah mempunyai pendidikan seks yang jelas melalui pengasingan bilik tidur anak lelaki dan perempuan, konsep mahram, konsep batal wuduk dan konsep tunduk pandang.

“Nama ‘pendidikan seks’ boleh mengundang salah faham. Justeru saya cadang ia ditukar kepada Pendidikan Kejantinaan. Bukankah sex yang dimaksudkan adalah jantina? Rujuklah semula kamus-kamus kita.

“Saya tak setuju dengan idea Safe Sex Syed Saddiq yang secara halus diselitkan di celah celah perkongsian twitternya berkenaan pendidikan kejantinaan,” ujarnya.

Sumber: Malaysian Digest