lim kit siang lim guan eng teresa kok DAP Hanya Nampak Macam Parti Demokrasi - Bekas ADUN DAP Teratai

DAP Hanya Nampak Macam Parti Demokrasi – Bekas ADUN DAP Teratai

DAP nampak macam sebuah parti demokrasi, tetapi sebenarnya bukan sebuah parti yang benar-benar telus, kata bekas aktivis parti itu, Lee Ying Ha.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jenice Lee membuat kesimpulan itu berdasarkan pengalamannya menghadiri Kongres Khas DAP untuk pemilihan semula Ahli Jawatankuasa Tertinggi (CEC) parti, Ahad lalu.

Jenice yang juga bekas ADUN Teratai berkata beliau telah diberi surat jemputan untuk menghadiri kongres itu sebagai “wakil tambahan” apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan CEC sebelum ini yang dibuat secara tidak sah dan melanggar peraturan yang digubal parti itu sendiri.

Arahan RoS itu memberi implikasi bahawa pemecatan Jenice daripada DAP pada 22 April 2013 tidak sah dan beliau masih lagi menjadi parti hingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun kata Jenice, ia hanya mainan pihak tertentu dalam DAP sahaja, kononnya telus menghantar surat jemputan, tetapi tidak mengiktiraf beliau sebagai ahli dengan menyekat daripada akses maklumat parti.

“Adakah saya masih ahli DAP atau tidak? Saya menerima surat bertulis “wakil tambahan” tetapi pada masa yang sama ketika saya menyemak dalam talian menyebut ‘saya bukan ahli yang sah’ ???

“Saya adalah Pengerusi DAP Cawangan Taman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan DAP pada masa itu. Nampaknya seperti ada sesetengah orang dalam DAP yang hanya dapat memutuskan sama ada anda adalah ahli atau bukan ahli?

“Mereka yang keluar dari parti secara sukarela selepas 2012 perlu dijemput tetapi mengapa mereka dikecualikan? Backdated bermakna segala-galanya mesti mengikuti data pada masa itu,”katanya dalam Facebook.

Jenice berkata demikian merujuk laman dalam talian dds.dapmalaysia.org yang membenar semua ahli DAP mengakses senarai wakil yang berkelayakan mengundi di Kongres Khas Parti 2017 pada 12 November 2017 di IDCC, Shah Alam, Selangor.

“Orang ramai yang bukan ahli DAP yang sah tidak dibenarkan mengakses maklumat yang terkandung dalam laman ini” kenyataan dds.dapmalaysia.org dipetik.

Mengulas isu yang sama, Lee Guan Aik berkata apa yang berlaku terhadap Jenice Lee itu merupakan amalan ‘double standard’ DAP yang angkuh dan sombong.

“Jenice..itu menunjukkan DAP sangat sangat sombong. Kepimpinan akan melakukan apa sahaja untuk membuang ahli yang mereka rasa ancaman terhadap mereka.

“Mereka tidak berminat dengan ahli-ahli pintar yang baik dalam parti itu. Itu sangat jelas. Apa yang naik akan diturun dengan segera.

“Kepimpinan yang tidak jujur dalam parti sekarang ini. Benar-benar tidak menghormati ahli. Terdapat krisis keyakinan terhadap parti selepas pemilihan CEC 2013,” katanya.

Sumber: AIDC