Editor Sarawak Report Perjudikan Kredibiliti Ambiga

Editor Sarawak Report Perjudikan Kredibiliti Ambiga

Tindakan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menamakan Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai sumber maklumat bakal menggugat kredibiliti bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Mohd Shahir.

“Jika palsu memang Brown ini pemfitnah antarabangsa yang tersohor.

“Tetapi jika benar. Jika memang Ambiga lah sumber Brown dan Ambiga pula bukan punya maklumat tetapi mendengarnya pula dari sumber lain maka kredibiliti beliau sebagai seorang peguam dan pejuang keadilan sangat diragui dan boleh dipertikaikan.

“Jika benar Ambiga juga punya agenda politik untuk memusnahkan PAS,” kata Roslan dalam satu kenyataan.

PAS Desak Ambiga Bertanggungjawab Terhadap Kenyataan Editor Sarawak Report

Roslan berkata demikian sebagai mengulas dokumen pembelaan Editor Sarawak Report yang menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat yang memberitahu portal itu bahawa kepimpinan PAS telah menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ambiga memberitahu defendan yang sumbernya, yang menurutnya boleh dipercayai, menjangkakan jumlah yang telah dibayar adalah sekitar RM90 juta,” kata Clare Rewcastle-Brown, menurut dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.

Tambah Roslan, pembelaan Clare Rewcastle-Brown tidak kukuh kerana ia bergantung sumber Ambiga yang mendengar daripada sumber lain.

Dalam erti kata lain, ia bukan fakta, tetapi dengar cakap atau hearsay.

“Khabar hearsay atau dengar cakap sebegini sepatutnya Ambiga faham sangat melalui ilmu dan profesionnya.

“Tetapi jika beliau pula penyampai hearsay, disampaikan kepada juru sabotaj bertaraf Brown yang beliau tahu sangat akan pungut dan gunakannya maka jelas Ambiga juga pincang dan jahat.

“Haiwan lidah bercabang mana pula sumber Ambiga itu?” soalnya.

Justeru Roslan mendesak Ambiga tampil mengesahkan dakwaan Editor Sarawak Report itu sama ada beliau berpihak kepada Clare Rewcastle-Brown atau sebaliknya.

“Semoga Ambiga segera bangkit membuat penjelasan melainkan benar beliau bersekongkol dengan Brown.

“Melalui saman di UK itu PAS yakin kebenaran akhirnya akan terserlah. Apabila itu berlaku segala agenda jahat untuk memusnahlan PAS akan kecundang.

“Khianat sungguhlah mereka yang menjadi perkakas kepada agenda asing untuk melenyapkan PAS ini.

“Mari kita tunggu penjelasan Ambiga,” katanya lagi.

Sumber: AIDC