Hina Bugis: Sultan Selangor Murka Terhadap Mahathir

Hina Bugis: Sultan Selangor Murka Terhadap Mahathir

Baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais hari ini menegaskan, tindakan Mahathir yang menyebut bahawa etnik Bugis sebagai golongan lanun dan penjenayah dianggap keterlaluan selain boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka buruk masyarakat terhadap etnik itu.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.

“Fakta sejarah membuktikan bahawa Kesultanan Selangor berketurunan Bugis merupakan pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama serta keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara,” kata Hanafisah dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Hanafisah turut memberitahu, Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut supaya satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa-apa undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Mahathir.

“Dr. Mahathir sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.

“Sultan Selangor turut mengingatkan kepada semua pihak terutama orang-orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian serta perpaduan kaum,” ujarnya.