Jangan Bimbang, Kami Akan Bantu Pulau Pinang Atasi Bencana Banjir - Najib

Jangan Bimbang, Kami Akan Bantu Pulau Pinang Atasi Bencana Banjir – Najib

Kerajaan pusat tetap menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang walaupun negeri itu diperintah pembangkang, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Berkenaan banjir ini memang tak payah kerajaan negeri minta, kalau ada musibah walaupun kerajaan negeri pembangkang, kita memang bantu atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab kita,” katanya selepas meninjau persiapan hospital medan untuk etnik Rohingya di Hospital Tentera Tuanku Mizan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk membantu kerajaan negeri dan mangsa banjir.

“Pasukan ATM akan membantu, tentera akan berlepas petang ini untuk melihat keadaan dan dikoordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kita akan bantu mangsa banjir dan keperluan mereka akan ditentukan dan beri bantuan yang diperlukan mereka,” katanya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang Akui Sistem Perparitan Punca Banjir Kilat

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Lim Guan Eng tidak perlu bimbang kerana anggota tentera sudah berada di lokasi banjir untuk memantau keadaan dan menghulurkan bantuan.

“Ketua Menteri Pulau Pinang jangan bimbang, apa yang kita lakukan di Kelantan dan Terengganu dalam menghadapi banjir besar, kita serius untuk membantu Pulau Pinang.”

Beliau bagaimanapun berkata, musibah itu tidak seharusnya dipolitikkan mana-mana pihak.

“Saya tegaskan jangan cuba politikkan, apa yang kita lakukan konsisten. Dalam beberapa jam, aset kita gerakkan, lebih 100 anggota lain-lain pangkat dan 10 pegawai digerakkan ke Pulau Pinang. Ini SOP (prosedur operasi standard) kita.”

Taburan Hujan Ekstrem Punca Banjir Terburuk Di Pulau Pinang - Menteri

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam sidang media sama berkata, ATM bukan sahaja menilai situasi semasa banjir, tetapi juga selepas banjir.

“Ada beberapa ratus anggota di lokasi. Pagi tadi ada 160 anggota dan sekarang digerakkan anggota tambahan. Bantuan untuk respons dan pasca itu nanti. Pasca itu yang diinginkan menteri pertahanan. Bagi kita, ATM akan lihat kedua-dua aspek.”

Sumber: FMT