Ramai 'Pemimpin Penyangak' Dalam Pakatan Harapan - Presiden PAS

Ramai ‘Pemimpin Penyangak’ Dalam Pakatan Harapan – Presiden PAS

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir, PAS mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bersama dengan blok pembangkang yang terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan PAN.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya hari ini berkata, pendirian itu berikutan terdapat ramai ‘pemimpin penyangak’ dalam Pakatan Harapan (PH) atau paling tidak bersubahat dengan veteran ‘pemimpin penyangak’.

Justeru, Hadi menegaskan partinya tidak akan berkompromi dengan sebarang perbincangan untuk melakukan kerjasama dengan PH seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin PH sebelum ini.

PAS Tolak Kerjasama Parti Yang Ada Hubungan Dengan DAP

“PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

“Dan tuduhan sama yang bertali arus laksana mata rantai atau biji tasbih yang dibilang setiap kali berwirid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hadi, dalam kalangan pemimpin-pemimpin PH juga ramai yang tidak layak untuk menjadi saksi kepada sesuatu kes yang memerlukan saksi, berbanding dengan pimimpin-pemimpin dari kalangan parti PAS.

“Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS,” tambahnya.

Nik Abduh: PAS & UMNO Usaha Hilangkan Kebencian Sesama Umat Islam

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut memuji sikap ditunjukkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang mungkin tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan namun tidak menjatuhkan kerajaan menerusi cara tidak sopan.

“Beliau bersikap mengikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan, namun tidak mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak bersopan.

“Berbeza dengan PAS yang menjadi pembangkang yang menasihat, namun sama-sama berpegang kepada konsep nasihat,” katanya.

Sumber: MalaysiaGazette