Taburan Hujan Ekstrem Punca Banjir Terburuk Di Pulau Pinang - Menteri

Taburan Hujan Ekstrem Punca Banjir Terburuk Di Pulau Pinang – Menteri

Hujan lebat dan air pasang pada Sabtu menjadi punca banjir terburuk sejak 20 tahun lalu di Pulau Pinang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia sekali gus menyebabkan air hujan bertakung di seluruh daerah dan kawasan di negeri itu. Jelasnya, apa yang berlaku merupakan satu situasi yang di luar jangkaan.

“Banjir berlaku di luar jangka apabila hujan turun semenjak 4 dan 5 haribulan lepas melebihi penurunan luar biasa, dalam masa 10 ke 20 tahun, ia tidak pernah berlaku.

“Taburan hujan banyak, kapasiti terlalu banyak, mana-mana bandar pun akan berlaku banjir tambahan pada masa itu air pasang berlaku,” katanya semasa sidang media semasa sidang akhbar khas mengenai banjir di utara Semenanjung negara di sini hari ini.

Angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak Sabtu, menyebabkan banjir yang tidak pernah berlaku di beberapa kawasan mengakibatkan lima kematian dan lebih 2,000 orang dipindahkan.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang Sabtu, yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Dalam pada itu kata Wan Junaidi, kerajaan Negeri Pulau Pinang turut dinasihat menghentikan mana-mana pembangunan di lereng bukit.

Sebelum ini Wan Junaidi dilaporkan mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji semula dari pelbagai sudut akan fakta-fakta taburan hujan.

Katanya, kajian yang dilakukan secara saintifik oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi, Jabatan Laut dan Institut Kajian Hidraulik Kebangsaan untuk mengumpul data dan merancang tambatan banjir di seluruh negara.