Tanah Runtuh Lagi, Projek Perumahan Mewah Di Tanjung Bungah Terjejas

Tanah Runtuh Lagi, Projek Perumahan Mewah Di Tanjung Bungah Terjejas

Enam banglo tiga tingkat bernilai jutaan ringgit yang masih dalam pembinaan rosak selepas jalan di Persiaran Tanjung Bungah 3 di sini runtuh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga banglo rosak teruk apabila bahagian hadapan rumah termasuk tempat letak kenderaan runtuh.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kondominium Surin, Jesmond Ng, mendengar dentuman kuat sebelum melihat rekahan berlaku pada tembok penahan berdekatan jalan ke tapak pembinaan berkenaan.

“Kami risau sekiranya runtuhan lebih besar berlaku dan menjejaskan perumahan yang dihuni hampir 1,000 penduduk.

“Kawasan lereng bukit berhampiran laluan masuk ke Kondominium Surin juga begitu hampir dengan kawasan runtuhan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana banglo berkenaan masih kosong dan difahamkan dalam proses mendapatkan sijil layak menduduki.

Seluruh kawasan berkenaan terpaksa ditutup dengan kanvas untuk menghalang orang ramai masuk bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Penasihat Penang Citizen Awareness Group (Chant Group), Yan Lee menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang dan pakar berkaitan segera mengambil langkah keselamatan bagi mengelak kejadian lebih buruk di lokasi kejadian.

“Struktur tanah di kawasan lereng bukit itu dapat dilihat sangat tidak stabil dan bencana lebih buruk boleh berlaku pada bila-bila masa jika tiada langkah pencegahan diambil segera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.