Akhirnya Biro Politik PKR Setuju Mahathir Sebagai PM

Akhirnya Biro Politik PKR Setuju Mahathir Sebagai PM

Akhirnya PKR bersetuju menerima Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU 14.

Persetujuan itu dicapai melalui mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu yang dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti itu.

Perkara itu didedahkan kepada The Malaysian Insight melalui satu sumber dalaman PKR yang tidak dinamakan.

Hina Bugis: DAP Tuntut Mahathir Minta Maaf Dengan Sultan

Walau bagaimanapun, PKR meletakkan tiga syarat kepada Dr Mahathir sebagai timbal balas persetujuan parti mereka.

Syarat pertama, Anwar perlu dibebaskan dengan segera dan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh enam hingga dua belas bulan selepas PRU 14.

Anwar dijangka bebas dari penjara Sungai Buloh pada Jun 2018, selepas beliau tamat tempoh menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Syarat kedua pula ialah, PKR perlu diberikan kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PH iaitu sebanyak 60 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

“Syarat ketiga ialah, Dr Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting di negara ini,” kata sumber dalaman PKR itu.

Pakatan Harapan Calonkan Mahathir Sebagai PM & Wan Azizah Sebagai TPM

Dalam satu pemukiman yang diadakan PH pada 1 dan 2 Disember lalu, tiga parti komponen PAN, DAP dan PPBM sudah bersetuju menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR mahu membincangkan perkara itu terlebih dahulu pada peringkat parti.

Seorang lagi sumber yang tahu tentang mesyuarat biro politik PKR minggu lepas berkata syarat-syarat itu akan dibawa kepada Dr Mahathir dan beliau perlu menurunkan tandatangan tanda persetujuan.

“Kita mahu Dr Mahathir berjanji, beliau hanya akan menjadi perdana menteri sementara sahaja dan serahkan kerusi itu kepada Anwar bila sampai waktunya.

“PKR juga mahu kerusi paling banyak kerana bimbang ramai pemimpin Umno akan melompat menyertai Bersatu selepas PRU14 menjadikan parti itu paling kuat dalam Pakatan Harapan,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu menambah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ditugaskan untuk membawa “surat” perjanjian itu kepada Dr Mahathir.

“Selain itu, Saifuddin juga perlu berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kanan PH lain seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu untuk meyakinkan mereka supaya bersetuju dengan syarat ini,” katanya.

Sumber: AIDC