Anwar Ibrahim Bukan Tahanan Politik, Kesalahan Jenayah Telah Dibuktikan Di Mahkamah

Anwar Ibrahim Bukan Tahanan Politik, Kesalahan Jenayah Telah Dibuktikan Di Mahkamah

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bukan tahanan politik kerana telah melalui proses mahkamah di semua peringkat sebelum hukuman penjara lima tahun dijatuhi terhadapnya kerana bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata tidak ada istilah ‘tahanan politik’ di negara ini kerana frasa itu bermaksud seseorang pesalah itu disumbat ke dalam penjara tanpa melalui proses perundangan di mahkamah.

Mahathir Dicabar Mohon Maaf Kepada Anwar Jika Dakwa Dihukum Secara Tidak Adil

Menurutnya, walaupun ‘tahanan politik’ lebih hampir dengan tahanan-tahanan yang ditangkap semasa pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun maksud itu masih tidak tepat kerana bekas tahanan ISA masih dibenarkan membuat rayuan di mahkamah berkenaan penahanannya itu.

“Kadang-kadang saya pun hairan macam mana orang kata di Malaysia ini ada tahanan politik. Pada saya, di Malaysia ini tidak pernah ada tahanan politik walaupun semasa ada ISA.

“Kalau ada tahanan politik, mereka yang ditahan di bawah ISA tak boleh sertai pilihan raya, tak boleh dilantik jadi menteri, jadi ketua pembangkang ke, tak boleh. Itu kalau betul-betul ada tahanan politiklah,” katanya dalam sidang media, di Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam Anwar dari Amerika Syarikat, Kimberly Montley yang mendesak Kerajaan Malaysia membebaskan segera Anwar Ibrahim yang didakwa sebagai tahanan politik.

Mengulas lanjut, Musa turut memberikan contoh pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang pernah menjadi tahanan politik.

“Itu betul tahanan politik kerana mereka tidak dibicarakan, duduk dalam penjara bertahun-tahun dan tak boleh terlibat dengan politik.

“Tetapi kita walaupun dulu ada ISA, menteri-menteri yang pernah kena tangkap lepas itu mereka boleh masuk politik. Mereka boleh menang pilihan raya, boleh jadi menteri, boleh jadi ketua dan macam-macam lagi,” katanya.