Blogger Pro Pakatan Harapan Hina Sultan Selangor Kini Dalam Pengawasan Polis

Blogger Pro Pakatan Harapan Hina Sultan Selangor Kini Dalam Pengawasan Polis

Blog Steadyaku47 kendalian blogger Pakatan Harapan, Hussein Abdul Hamid yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kini dalam pemerhatian pihak polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi berkata, penulisan blog berkenaan menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat dan polis akan menyiasat latar belakang penulis artikel yang diterbitkan pada 13 Disember lalu.

“Kami juga akan menyiasat sama ada orang yang menulis artikel tersebut berada di Malaysia atau luar negara,” ujarnya dipetik FMT.

Kata Fuzi, sehingga kini masih tiada laporan polis dibuat berhubung artikel berkenaan.

Hussein menerusi blog Steadyaku47 pada 13 Disember lepas menerbitkan artikel bertajuk ‘WTF does this Idris of Selangor thinks he is doing?’ mengkritik Sultan Sharafuddin dalam bahasa penghinaan.

Beliau turut menuduh Sultan sebagai kaki botol, pencuri dan penjenayah serta bukanlah berketurunan Bugis sebenar.

“Kesultanan Selangor mungkin berasal dari Bugis tetapi kamu tidak pernah melakukan apa-apa untuk kami orang Bugis apatah lagi berasa bangga dengan apa yang kamu lakukan di Selangor,” tulis blog berkenaan.

Penerbitan artikel berkenaan berikutan komen Sultan Sharafuddin berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghina keturunan Bugis.

Hina Bugis: Sultan Selangor Murka Terhadap Mahathir

Masih enggan meminta maaf kepada Sultan, Dr Mahathir menunjukkan protesnya kepada Sultan Sharafuddin dengan memulangkan dua pingat dianugerahkan Sultan Selangor pada 1978 dan 2003.

Isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut memulangkan pingat yang pernah dianugerahkan istana Selangor.

Hussein turut menyokong tindakan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah memulangkan pingat kepada Sultan.

Sumber: Malaysian Digest