Bukti Azmin Gagal Pertahankan Sultan Selangor

Bukti Azmin Gagal Pertahankan Sultan Selangor

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal mempertahankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun beliau pemimpin tertinggi dalam pentadbiran negeri.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, apa yang berlaku sebelum ini menjadi bukti ‘kegagalan’ Menteri Besar Selangor itu.

Apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini menolak usul tergempar wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mahu membahaskan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu penghinaan Bugis jelas nampak kegagalan Mohamed Azmin ‘mempertahankan’ institusi raja.

“Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor tak menampakkan ketegasan dalam menangani isu tertentu termasuk melibatkan isu institusi diraja.

“Beliau sebagai Menteri Besar sudah tentu mempunyai pengaruh dan kawalan kepada Speaker DUN (Hannah Yeoh) bila ada usul yang cuba dibawa oleh UMNO supaya membincangkan isu Bugis jadi lanun yang mengaitkan Tun M lanun ditolak speaker.

“Kemudiannya, sultan memperlihatkan kemurkaan baginda terhadap Tun M namun masih tiada kenyataan apa pun dari Azmin,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Malah tambah Kamarul Zaman, pihak istana bukan sahaja tidak senang kepada Mohamed Azmin kerana sejak beberapa tahun dahulu lagi ada pemimpin pembangkang lain juga ada membuat onar dengan istana.

Ia termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang ditarik penganugerahannya sebelum ini.

Selain itu, isu Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam polemik Menteri Besar ketika ‘Langkah Kajang’ dan wakil rakyat PKR, Sivarasa Rasiah yang dilaporkan dalam masjid.

Sampai Bila Azmin Mahu Membatukan Diri Disaat Sultannya Teruk Dihina?

Kata Kamarul Zaman, apa yang berlaku sebenarnya sudah cukup untuk menguatkan lagi fakta parti pembangkang dilihat melebihkan aspek politik daripada mengutamakan isu keperluan terutama soal menghormati istana.

Ekoran daripada hal ini, beliau menjangka, pakatan pembangkang di Selangor bakal berhadapan kesukaran untuk meraih undi Melayu yang mengutamakan institusi diraja dalam PRU-14 kelak.

“Ini akan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan PKR dan PH untuk mempertahankan kedudukannya di Selangor. Pengundi Melayu di mana-mana secara umumnya pula bersikap konservatif masih lagi dekat dengan isu diraja.

“Jadi, bila ada individu yang dilihat bermasalah dengan Sultan Selangor tidak dilihat terlalu tegas mempertahankan institusi diraja ada kemungkinan undi Melayu di kawasan luar bandar semakin sukar untuk mereka (pakatan pembangkang),” ujar beliau lagi.

Sumber: Malaysiagazette