Lim Kit Siang Wajar Disaman Kerana Fitnah Presiden PAS

Lim Kit Siang Wajar Disaman Kerana Fitnah Presiden PAS

Membaca ulasan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, ke atas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Times semalam mengenai hasrat Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri, nampak agak jelas di mata saya bahawa Lim Kit Siang adalah seorang pemutar-belit yang layak disaman di mahkamah di atas putar-belit beliau itu.

Ini kerana tiada walau sepatah pun di dalam kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi yang tersiar di dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Times itu yang berbunyi, atau memberi gambaran, bahawa “jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia”.

hadi awang lim kit siang Isu DAP Jadi PM: Kenyataan Tegas Presiden PAS Wajar Disokong

Bagaimanapun, inilah yang Lim Kit Siang tulis di dalam ulasan beliau itu dengan antara lainnya menyebut “PAS President Datuk Seri Hadi Awang has jumped on the Najib bandwagon, spreading the lies that I want to be Prime Minister and that if UMNO loses in the next general election, the Malays and Islam will perish in Malaysia” (Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang telah menyertai Najib, menyebarkan pembohongan bahawa saya mahu menjadi Perdana Menteri dan bahawa jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia).

Bila diteliti, apa yang terkandung di dalam kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi yang menyentuh mengenai perkara ini hanyalah bahawa:
(1) Cita-cita pemimpin DAP untuk menjadi Perdana Menteri bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan.
(2) PAS memberi keutamaan untuk mengekalkan kepemimpinan Islam dalam negara ini.
(3) Pemimpin DAP menjadi Perdana Menteri turut bercanggah dengan realiti di Malaysia yang mana konsep negara Islam mestilah Islam itu berkuasa.
(4) PAS pasti menolak pemimpin bukan Islam sebagai Perdana Menteri kerana menjadi keutamaan PAS untuk menjadikan orang Islam pemimpin negara.

mahathir Memang Lim Kit Siang Mahu Jadi Perdana Menteri - Tunku Aziz

Saya hairan bagaimana Lim Kit Siang boleh menghubungkan Datuk Seri Abdul Hadi dengan kenyataan bahawa “jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia” bila Datuk Seri Abdul Hadi tidak menyebut walau sekali pun istilah “UMNO” di dalam kenyataan beliau itu.

Menyebut “PAS memberi keutamaan untuk mengekalkan kepimpinan Islam dalam negara ini” dan “menjadi keutamaan PAS untuk menjadikan orang Islam pemimpin negara” tidak boleh difahami sebagai menyokong pengekalan UMNO kerana “kepimpinan Islam” dan “orang Islam” itu tidak semestinya merujuk kepada “kepimpinan UMNO” dan “orang UMNO” kerana ia boleh sahaja merujuk kepada “kepimpinan PAS” dan “orang PAS”.

Lim Kit Siang Bacul Jika Tak Saman Hadi - Dewan Ulama PAS

Sehubungan itu, jika saya adalah Presiden PAS, sudah tentu saya akan menyaman Lim Kit Siang di mahkamah kerana membuat fitnah tidak berasas terhadap saya untuk memburukkan imej saya dan imej parti saya di mata rakyat Malaysia, dan saman ini juga akan saya lakukan serta-merta, tidak seperti Lim Kit Siang yang mengumumkan sejak 28 Januari 2017 lagi bahawa beliau sudah mengarahkan peguam beliau mengkaji kemungkinan menyaman saya kerana menyebut beliau anti-Islam, tetapi kini walau sudah hampir setahun ugutan ini berlalu bayang saman pun masih belum ada.

Tidak peliklah jika ada yang menganggap Lim Kit Siang hanya sebagai tidak lebih daripada tong kosong semata-mata.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).