Pulang Pingat Kebesaran, Isyarat Mahathir Protes Sultan Selangor - Penganalisis

Pulang Pingat Kebesaran, Isyarat Mahathir Protes Sultan Selangor – Penganalisis

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak dapat menerima teguran Sultan Selangor justeru bertindak memulangkan darjah kebesaran yang diterimanya 1978 dan 2003, kata penganalisis politik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

“Itu (tindakan memulang semula darjah kebesaran) bererti beliau tidak mahu pingat itu. Sebab dia tidak puas hati dengan apa yang disebutkan oleh Sultan Selangor. (Itu) saya rasalah,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Dr Mahathir pada Khamis bertindak memulangkan kembali dua darjah kebesaran yang diterimanya daripada Istana Selangor selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah murka kepadanya bersabit isu Bugis.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika berucap pada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, Oktober lalu cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.

Hina Bugis: Ahli-Ahli Dewan Di-Raja Selangor Mahu Mahathir Dikenakan Tindakan

Kenyataannya itu mengguris hati Sultan Sharafuddin sementelah baginda berasal daripada keturunan Bugis.

Baginda menerusi Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais bertitah tohmahan serta kenyataan Dr Mahathir tersebut jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis kononnya berusul daripada golongan lanun, perompak serta penjenayah.

Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin mengesahkan kepada media bahawa Dr Mahathir sudah pun memulangkan darjah kebesaran itu dan keputusan itu dibuat atas pertimbangannya sendiri.

Pingat berkenaan diserahkan kepada seorang pegawai kanan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Khamis lalu.

Pulangkan Pingat Kebesaran Selangor: Mahathir Sengaja Sembah Derhaka

Sementara itu, isteri kepada Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut melakukan tindakan sama.

Dr Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri bagi lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.

Beliau juga memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk Paduka bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Kedua-dua darjah itu diterimanya pada 1983 dan 1994.

Difahamkan satu kenyataan berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihak Istana Selangor, esok.