Amaran Balas Ancaman Larangan Minyak Sawit Oleh Kesatuan Eropah EU

Amaran Balas Ancaman Larangan Minyak Sawit Oleh Kesatuan Eropah

Malaysia, Indonesia dan Thailand bersedia bergabung tenaga untuk bertindak balas terhadap ancaman Kesatuan Eropah (EU) untuk mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021, yang mana ia merupakan satu tindakan diskriminasi dan sama seperti serangan ke atas industri minyak sawit.

Tindakan seperti itu akan menjejaskan terutamanya kepada pekebun kecil sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan menegaskan ia merupakan satu kebimbangan utama kepada negara-negara pengeluar minyak.

Di Sebalik Kempen Pakatan Harapan, Kubu UMNO Di FELDA Masih Kuat Lapor FMT

“Meskipun kami berharap ianya tidak dilaksanakan (larangan minyak sawit), namun jika ia benar-benar dilakukan, sekiranya produk (minyak sawit) kita didiskriminasikan, kita juga boleh melakukan yang sama (kepada EU), kerana jika anda tidak berlaku adil kepada produk kami, anda perlu ingat yang Malaysia, Indonesia dan Thailand juga membeli produk-produk anda.

“Rundingan dan perbincangan sedang dijalankan bagi memastikan ia tidak dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama beliau di Seminar dan Dialog Reach and Remind Friends of the Industry 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika ini sedang merundingkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU dan minyak sawit kekal menjadi agenda utama perbincangan.

FELDA Teruskan Pembelian Saham Syarikat Indonesia

Mah berkata demikian sebagai mengulas resolusi Parlimen EU mengenai arahan baharu tenaga boleh diperbaharui yang mahu memperkenalkan satu skim sijil tunggal bagi minyak sawit untuk memasuki pasaran EU dan menghentikan secara berperingkat penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit menjelang 2021 pada 4 April, 2017.

Ini disusuli dengan sokongan oleh Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen EU pada 23 Oktober, 2017 dan Jawatankuasa Industri, Penyelidikan dan Tenaga pada 28 November, 2017.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani isu itu.

“Minyak sawit bukan hanya berkenaan dengan ladang besar atau estet, tetapi ia melibatkan pekebun kecil yang bergantung kepada sawit bagi mata pencarian mereka. Kami berusaha sebaik mungkin dari segi kawalan dan kualiti alam sekitar. Jadi jangan menghukum apabila kami telah berusaha sedaya upaya kami,” katanya.

Malaysia memiliki kira-kira 650,000 pekebun kecil.