Bagaimana DAP Peralat Mahathir Bagi Capai Halatuju Negara Sosialis & Malaysian Malaysia

Bagaimana DAP Peralat Mahathir Bagi Capai Halatuju Negara Sosialis & Malaysian Malaysia

Tujuannya satu. Untuk memecahbelahkan Melayu.

Selama lebih 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad melaungkan nada yang sama terhadap DAP – sebuah parti rasis, sebuah parti liberal yang mahukan orang Islam murtad dilindungi dan hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) diberi kebebasan.

Tak lama dahulu, Parti Keadilan ditubuhkan kerana satu tujuan. Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim membalas dendam terhadap Dr Mahathir yang memecatnya sebelum turut dipenjarakan. Dan begitu juga dengan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), satu dendam terhadap tersingkirnya Mukhriz Mahathir dari laluan menjadi Perdana Menteri sebagaimana kehendak bapanya, Dr Mahathir.

Propaganda DAP dalam menyemarakkan kebencian terhadap pemimpin Melayu sudah dimulakan sejak penubuhannya lagi yang menjadi cermin kepada halatuju parti PAP Singapura.

Ini bukanlah satu kejutan kerana bekas Ketua Menteri Singapura ketika Malaysia ditubuhkan, Lee Kuan Yew amat lantang dalam menentang keistimewaan yang diberikan kepada bangsa Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak

Kuan Yew melaungkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ menentang keistimewaan yang dimaktubkan melalui Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan terhadap penghapusan keistimewaan Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak ini kini diteruskan oleh parti DAP yang ditunjangi Lim Kit Siang dan keluarganya sebagai halatuju parti DAP.

Propaganda yang dimainkan mudah, sama seperti dilakukan Kuan Yew dahulu.

Pada ketika mereka mengemis simpati dan sokongan orang Melayu, mereka memperjuangkan penghapusan keistimewaan orang Melayu.

Dr Mahathir sendiri berulangkali mendedahkan, DAP adalah sebuah parti rasis dan cerminan kepada usaha yang dilakukan PAP sebelum disingkir keluar dari Malaysia pada 1965.

“DAP adalah satu parti rasis yang menidakkan hak orang Melayu sama sekali. Inilah DAP. Ia lebih rasis dari orang lain.

“Kononnya orang Melayu tak beri layanan pada orang Cina. Dia memainkan perkara perkauman,” kata Dr Mahathir secara terbuka.

Ketika memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ sebelum ditendang keluar dari Malaysia, Kuan Yew mendakwa kaum Melayu tidak akan diketepikan dari pembangunan malah mendakwa, orang Melayu semakin maju di negeri itu.

ORANG MELAYU DI SINGAPURA

Lihat kepada status orang Melayu di Singapura hari ini. Mereka terus menjadi kaum dalam kelas bawahan di republik yang majoritinya dikuasai kaum Cina.

Sistem pendidikan di Singapura turut menindas kaum Melayu yang berada di kelas bawahan dan dikategorikan sebagai rakyat termiskin di republik itu.

Antaranya, penyelidikan mendapati wujud polisi di mana sekolah prestij akan memberi keutamaan kepada ibubapa yang tinggal dalam lingkungan satu kilometer dari sekolah berkenaan yang terletak di kawasan perumahan persendirian yang bernilai jutaan dolar Singapura yang sudah tentu bukan dalam cakupan kemampuan orang Melayu di sana.

Ini membolehkan keluarga yang memiliki kekayaan berpindah ke kawasan berkenaan berbanding kaum Melayu yang kebanyakannya tinggal menyewa di flat milik Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura.

Untuk rekod, flat sewaan hanya dikhususkan kepada rakyat termiskin di Singapura dan kaum Melayu direkodkan sebagai penduduk paling tinggi di kediaman berkenaan. (Dr Lai Ah Eng, Penyelidik Universiti Kebangsaan Singapura).

Sebagai contoh, Raffles Girls’ Primary School yang terletak di kawasan perumahan elit yang hanya dikelilingi kediaman berstatus tinggi dalam lingkungan satu kilometer (The Straits Times Singapura, 2011).

“Ini menjejaskan peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk mendaftar di sekolah berprestij berikutan polisi kerajaan terhadap kemasukan pelajar ke sekolah rendah,” menurut kajian Bourdieu & Posseron.

Peratusan pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran ke pendidikan lanjutan seperti Kolej Junior (JC), Politeknik, Institut Pendidikan Teknikal dan institusi persendirian lain adalah sangat rendah berbanding kaum lain di Singapura. (Zhang Ziayi, Pembantu Penyelidik, Universiti Pengurusan Singapura, 2014).

Ini bermakna, berbanding kaum lain di Singapura, pelajar Melayu yang keciciran selepas pendidikan lanjutan adalah tinggi, menurut Kementerian Pendidikan Singapura pada 2013. Malah, Jabatan Statistik Singapura turut menyatakan kaum Melayu menyumbang jumlah yang terlampau tinggi dalam strata sosial paling rendah di republik itu (Jabatan Statistik Singapura, 2010).

Fakta ini bertentangan dengan matlamat dan ‘perjuangan’ PAP ketika memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia dengan mendakwa kaum Melayu diberi layanan sama rata malah mendakwa kononnya kaum Melayu semakin maju.

“Di Singapura, kami melihat kaum Melayu semakin maju,” kata D.R Seenivasagam dari Parti Progresif Rakyat yang turut mendukung konsep ‘Malaysian Malaysia’ anjuran PAP.

Sejak penubuhannya pada 1966, DAP menggunakan lanskap dan matlamat yang sama digunakan PAP iaitu konsep Malaysian Malaysia di mana kewujudannya adalah bagi menafikan keistimewaan Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Ini disebalik dakwaan DAP kononnya mereka tidak mengenepikan kaum Melayu, sama seperti laungan PAP sebelum disingkir keluar dari Malaysia.

Sudah tentu DAP menafikan mereka akan meminggirkan kaum Melayu jika dapat memerintah nanti kerana strategi yang sama turut digunakan oleh Kuan Yew ketika meraih sokongan kaum Melayu di republik itu.

Kuan Yew turut sanggup mengenakan songkok yang dianggap sebagai sebahagian dari pakaian orang Melayu bagi memenangi hati kaum itu.

Menafikan keistimewaan Melayu sebagaimana dilakukan PAP melalui konsep Malaysian Malaysia sebelum disingkirkan keluar dari penubuhan Malaysia, ia juga akan menidakkan kuasa Raja-Raja Melayu di negara ini.

Tonton video berikut:

DAP berterusan mendakwa parti mereka adalah sebuah parti berbilang kaum dan kononnya ‘anak Melayu tidak dipinggirkan dalam DAP.’

Hakikatnya, kepimpinan DAP itu sendiri tidak mencerminkan dakwaan itu.

Maka, sebagai sebuah parti paling dominan dalam pakatan pembangkang, DAP secara jelas memperalatkan Dr Mahathir bagi memecahbelahkan orang Melayu tanpa dilihat sebagai sebuah parti rasis.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya mempunyai satu kerusi Parlimen yang disandang oleh presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi Parlimen Pagoh namun agak pelik apabila pengerusi parti masih mentah ini, dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

Sudah tentu tujuannya adalah untuk menguasai sokongan Melayu dengan mengambil kira orang Melayu masih lagi bersikap sentimental terhadap Dr Mahathir disebalik segala dosa dan khianat DAP sebagaimana dilaungkan bekas perdana menteri itu selama lebih 22 tahun.

Apatah lagi, konsep propaganda menggunakan individu dari kaum itu sendiri dapat mengelak DAP dari dilihat sebagai parti rasis sebagaimana yang Dr Mahathir fahami dan ketahui selama lebih 22 tahun.

Ia juga mengelak DAP dari dipersalahkan apabila Pakatan Harapan tewas pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti.

Hakikat bahawa menyokong ‘perjuangan’ Dr Mahathir adalah menyokong ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi halatuju DAP tidak boleh disangkal lagi.

Baru-baru ini, portal pro DAP, Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata Dr Mahathir akan dilantik sebagai calon Perdana Menteri pilihan Pakatan Harapan secara sementara sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Katakanlah Dr Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatan itu, sudah tentu DAP sebagai parti paling dominan dalam pakatan pembangkang itu akan melenting.

Ini tidak mustahil kerana dengan jumlah kerusi dipegang DAP, ia mampu menyingkir Dr Mahathir dengan mudah sebelum meletakkan Perdana Menteri boneka mereka.

Lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Bagaimana PAS yang tidak lagi senada dengan mereka disingkir dari pentadbiran kerajaan dengan mudah.

Penyingkiran orang Melayu dari bahagian pulau di Pulau Pinang juga ketara dengan tirani pentadbiran DAP.

“Tempat orang Melayu sendiri tak boleh berniaga,” keluh peniaga Melayu di Pulau Pinang.

Sudah tonton video di atas ini? Tidakkan ia sama dengan strategi PAP Singapura? Kononnya memenangi hati Melayu namun disebalik dakwaan itu, penindasan dilakukan secara teratur sehingga kaum Melayu di Singapura adalah kumpulan terlampau tinggi dalam strata paling rendah dalam sosioekonomi Singapura.

Kesimpulannya mudah. Apabila orang Melayu tidak mampu berniaga lagi, mereka akan hilang pendapatan dan secara perlahan keluar dari pulau itu bagi mencari sumber baharu.

Sebagai parti dominan dalam pakatan itu juga, DAP mampu membuat usul membuat pindaan terhadap Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat mereka untuk mewujudkan negara sosialis melalui ‘Malaysian Malaysia’ di Dewan Rakyat.

Antara petikan Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan ialah:

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Inilah antara yang ditentang hebat oleh Kuan Yew yang melaungkan konsep Malaysian Malaysia antara 1963 hingga 1965 sebelum disingikir dari Malaysia.

Perlu difahami, apabila peruntukan melalui Artikel 153 ini dimansuhkan bagi merealisasikan hasrat DAP melalui konsep Malaysian Malaysia, ia sekaligus menghapuskan kuasa Yang Di-Pertuan Agong sebagai pelindung kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Sumber: My Nation News