Ewein Berhad Pula Nafi Terlibat Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

Ewein Berhad Pula Nafi Terlibat Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

Ewein Bhd (Ewein) hari ini menjelaskan bahawa ia serta anak syarikatnya tidak terbabit langsung dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ewein berkata anak syarikatnya, Ewein Land Sdn Bhd, hanya memeterai perjanjian usaha sama dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (dikenali Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd sebelum ini).

“Ewein tidak membeli sebarang tanah daripada kerajaan negeri. Tanah itu dimajukan secara bersama dalam transaksi komersial di antara Ewein Land dan Consortium Zenith menerusi syarikat usaha sama Ewein Zenith Sdn Bhd,” katanya.

Pra Jualan RM3 Bilion Tanah Negeri Tanpa Kelulusan Lengkap, Amalan Lazim Kerajaan DAP?

Ewein menerusi anak syarikatnya, Ewein Zenith II Sdn Bhd memeterai satu perjanjian bagi pembelian tanah (Lot 713) seluas 1.78 hektar di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM162 juta pada 2015.

“Tanah itu dibeli daripada Consortium Zenith dan bukannya kerajaan negeri. Ini merupakan transaksi komersial dan butiran pembelian itu turut dimaklumkan kepada Bursa Malaysia,” katanya.

Menurut syarikat itu, Ewein Zenith II memutuskan untuk membatalkan perjanjian dengan Consortium Zenith BUCG berikutan keluasan tanah yang lebih kecil sebanyak 0.81 hektar. Pembatalan itu turut dimaklumkan kepada Bursa Malaysia.

lim guan eng zarul Kerajaan DAP Pulau Pinang Dipersoal Benarkan Syarikat SPV Pra-Jual RM3 Bilion Tanah Negeri

Ewein menjelaskan, syarikat itu memeterai satu memorandum perjanjian dengan Consortium Zenith bagi mendapatkan hak pembelian tanah kira-kira 20.2 hektar yang akan ditebus guna di Gurney Drive pada 2016.

“Tanah 20.2 hektar itu adalah sebahagian daripada projek tebus guna oleh sebuah syarikat yang tiada kaitan dengan Ewein atau mana-mana anak syarikatnya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tahanan reman 2 pemimpin syarikat bergelar “Datuk” bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan terowong dasar laut itu.