shahrir samad FELDA Dapat Semula Tanah Jalan Semarak Tanpa Sebarang Kos

FELDA Dapat Semula Tanah Jalan Semarak Tanpa Sebarang Kos

Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) yang terbabit dalam isu pemindahan hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, mengembalikan tanah itu kepada agensi berkenaan hari ini tanpa sebarang kos, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Pengerusi FELDA itu berkata, hak milik 16 lot tanah itu yang dipindahkan dalam 4 transaksi jual beli pada Disember 2015 dan November 2016, dikembalikan selepas perjanjian persefahaman ditandatangani kira-kira 1 tengah hari tadi.

“Hari ini, pihak pemaju SPSB secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah itu kepada FELDA tanpa kos dan menyerahkan semua surat hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama FELDA,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat FELDA.

Bagaimanapun, Shahrir berkata, siasatan polis dan audit forensik yang dijalankan sebuah firma audit luar dilantik Jabatan Perdana Menteri, ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak akan diteruskan.

Siapa Dalang Di Sebalik Isu Tanah FELDA Jalan Semarak

Katanya, laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 28 Disember lalu di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan juga tidak akan ditarik balik.

“Audit forensik yang sedang berjalan juga akan diteruskan bagi mengenal pasti jika terdapat salah laku dalam transaksi terbabit.”

Beliau berkata, projek KLVC akan diteruskan dan FELDA serta SPSB akan berunding semula untuk melakukan penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan itu demi kebaikan semua pihak.

“FELDA juga akan memastikan segala proses dan prosedur pengembalian tanah ini serta proses-proses lain dalam projek KLVC akan menurut tatacara tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti.”

Pada 21 Disember lalu, FELDA dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi mencurigakan sejak 2015.

Sumber dipetik Berita Harian berkata, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat FELDA, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.

Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah FELDA di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara FELDA dan SPSB.

Pada 13 Disember lalu, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman, pada 4 dan 5 Januari lalu.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu pernah dilantik sebagai pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017, pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Sumber: FMT