mahathir Hipokrit! Dulu Janji Nak Hapus Tol, Sekarang Sokong 'Bapa Segala Tol'

Hipokrit! Dulu Janji Nak Hapus Tol, Sekarang Sokong ‘Bapa Segala Tol’

Masih ramai yang tidak percaya empat tol di seluruh negara sudah dihapuskan iaitu, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) di Johor dan Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Utusan Malaysia melaporkan, masih ada pengguna masih ‘berdegil’ untuk membuat pembayaran tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sebaik tiba di kaunter pembayaran.

Pengguna berkenaan tidak menyedari bahawa operasi tol berkenaan sudah dimansuhkan sejak detik 12 pagi, 1 Januari lepas.

Lapor Utusan, ada pengguna yang bertindak mengundurkan kenderaan dan menukar lorong kerana menyangka kad Touch n Go mereka bermasalah selepas beberapa kali menyentuh mesin pembayaran biarpun tiada palang yang menghalang laluan.

Situasi berkenaan mengundang kesesakan lalu lintas sepanjang laluan tol berkenaan.

Sementara NST melaporkan, pemansuhan kedua-dua tol berkenaan memberi kelegaan kepada lebih 270,000 pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi posting blognya pula membidas pembangkang yang selama ini berjanji untuk menghapuskan tol tetapi semenjak merampas negeri dan menjadi pentadbir, janji untuk berbuat demikian tidak dilaksanakan.

“Lebih buruk lagi, ada pula yang mengatakan bahawa pemansuhan tol ini hanya memudaratkan rakyat. Mungkin mereka ini tak dapat lihat kesesakan di kawasan bertol tersebut, atau mereka tak dapat mengira berapa ramai rakyat yang kini dapat berjimat apabila tidak lagi perlu membayar tol.

“Inilah pembangkang di Malaysia. Hipokritnya mereka, mereka jugalah yang menyanjung tinggi dan mendukung Bapa Segala Tol, bekas pemimpin yang membuat perjanjian berat sebelah, menguntungkan sesetengah kroni tetapi merugikan dan menindas rakyat,” kata Najib membidas pembangkang.

Jelas beliau, kerajaan membelanjakan sejumlah wang banyak untuk menanggung beban subsidi tol agar bayarannya tidak melonjak tinggi, sedangkan peruntukan berkenaan sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat seluruh negara.

Tambahan pula, pembangkang yang selama ini berjanji untuk memansuhkan lebuhraya bertol pula giat membina lebuhraya bertol di negeri pimpinan masing-masing.

“Kata-kata putar belit dan janji-janji manis yang ditabur kepada rakyat yang tak mungkin mampu mereka tunaikan.

“Kesemua ini hanya omong kosong, bukan sahaja tol, bahkan satu apa janji populis mereka kepada rakyat pun tak mungkin dapat mereka laksanakan, kerana hakikatnya mereka tidak mempunyai perancangan dan pelan yang kukuh untuk melaksanakannya,” ujarnya.

Jelas Perdana Menteri, pemansuhan empat tol bersama beberapa lain semenjak beliau mengambil alih tugas mentadbir negara adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) melunaskan janji kepada rakyat.

“Kita terus mendengar nadi denyut rakyat dan membantu dengan pelbagai kemudahan Infrarakyat, seperti Lebuhraya Pan Borneo yang bebas tol, projek-projek keretapi, dan segala insentif dan pemberian kebajikan.

“Usaha-usaha ini akan diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kerana kita inginkan semua rakyat Malaysia menikmati pembangunan negara,” ujarnya mengakhiri penulisan blognya.

Sumber: Malaysian Digest