Hishamuddin Rais Mengaku Dia & Suami Maria Chin Jumpa Chin Peng Untuk Salur Maklumat

Hishamuddin Rais Mengaku Dia & Suami Maria Chin Jumpa Chin Peng Untuk Salur Maklumat

Aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia dan Allahyarham Yunus Ali yang merupakan suami kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Maria Chin Abdullah ada berjumpa dengan Chin Peng di Beijing, China dan memberikan maklumat kepada bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

kita semua pengecut - Hishamuddin Rais

Menjawab pertanyaan peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, saksi itu menyatakan maklumat yang disalurkan kepada pemimpin parti komunis itu adalah berhubung pandangan orang muda mengenai rancangan gencatan senjata antara kumpulan pemberontak terbabit dengan pihak Kerajaan Malaysia sebelum Perjanjian Damai Hat Yai ditandatangani pada tahun 1989.

Tambahnya, walaupun mengetahui ramai perajurit negara mati dibunuh komunis, dia tetap akan memberikan maklumat kepada Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua atau kepada sesiapa sahaja yang ingin mendengar pandangan orang muda pada ketika itu.

Terdahulu, Hishamuddin memberitahu, dia merupakan penuntut Fakulti Sastera di Universiti Malaya (UM) manakala Yunus di Fakulti Pertanian dan kedua-duanya menjadi ahli kelab Sosialis UM dan diperkenalkan melalui senior kelab tersebut, Hassan Karim manakala Maria Chin pula dikenalinya sewaktu menghadiri kem musim panas di London pada 1986.

Bekas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu turut mengakui sekitar 1970, Kelab Sosialis UM merupakan sebuah pertubuhan pelajar berhaluan kiri.

Walaupun pada mulanya menafikan bahawa Yunus yang pernah menganggotai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan menerima latihan sebagai komando merupakan seorang pelarian politik, Hishamuddin akhirnya bersetuju dengan cadangan Mohammed Nasser bahawa Allahyarham pernah melarikan diri dari sebuah persidangan pelajar di Hong Kong ke Australia bagi mengelakkan dirinya ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 1976.

Hishamuddin berkata demikian pada perbicaraan hari kedua kes saman fitnah oleh Maria, 62, selaku plaintif terhadap Jamal yang didakwa mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kumpulan pengganas, Daesh.