Jual Tanah Jalan Semarak: Tiada Urusan 'Pintu Belakang', FELDA Untung RM500 Juta

Jual Tanah Jalan Semarak: Tiada Urusan ‘Pintu Belakang’, FELDA Untung RM500 Juta

Ahli Lembaga Pengarah FELDA sejak awal lagi menyedari akan urusan penjualan tanah milik FELDA di Jalan Semarak (Jalan Sultan Yahya Petra) kepada syarikat pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) bagi membangunkan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Portal berita The Mole memetik sumber rapat dengan projek berkenaan melaporkan bahawa Lembaga Pengarah FELDA menyedari sepenuhnya dan meluluskan penjualan tanah berkenaan, justeru tiada isu mengatakan bahawa urusan tersebut dijalankan tanpa pengetahuan FELDA.

Disember tahun lepas, sebuah akhbar harian berbahasa Melayu melaporkan terdapat urusan mencurigai di dalam perjanjian pindah milik tanah FELDA Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta.

Siapa Dalang Di Sebalik Isu Tanah FELDA Jalan Semarak

Lapor media berkenaan, Lembaga Pengarah FELDA hanya diberitahu tiga bulan kemudian bagi mendapatkan kelulusan secara retrospektif, selepas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) memberikan SPSB surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkan KLVC.

Lapor The Mole, Lembaga Pengarah FELDA meluluskan penjualan tanah berkenaan pada hari mereka dimaklumkan berkaitan urusan berkenaan, dan sekali lagi meluluskannya pada 3 Jun 2015.

Dalam pada itu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyatakan kekecewaannya berikutan FIC memberikan kuasa penuh kepada SPSB ke atas tanah berkenaan yang disifatkannya suatu kerugian kepada FELDA.

Tanah FELDA: Firma Luar Dilantik Untuk Laksana Audit Forensik Ke Atas KLVC

Walaubagaimanapun, sumber The Mole memberitahu, perjanjian FIC-SPSB menyatakan bahawa pembangunan KLVC akan membawa pulangan sekurang-kurangnya setengah bilion ringgit kepada FELDA.

“Telah diputusakan bahawa syarikat (FIC) menerima tawaran oleh FIC dengan cadangan pulangan jaminan minimum (MGR) RM500 juta atau 10 peratus daripada jumlah kasar pembangunan, yang mana lebih tinggi.

“Bayaran pertama RM10 juta sebagai sebahagian daripada MGR perlu dibayar dalam tempoh sebulan daripada tarikh menandatangani perjanjian pembangunan hartanah,” kata sumber berkenaan memetik minit mesyuarat Lembaga Pengarah FIC ke-10 pada 29 April 2014.