mahathir Kenapa 'Agong Tanpa Tengkolok' Mahu Dinobatkan Sekali Lagi - Fathi Aris Omar

Kenapa ‘Agong Tanpa Tengkolok’ Mahu Dinobatkan Sekali Lagi – Fathi Aris Omar

Tun Dr Mahathir Mohamad bukan pertama kali melawan perdana menteri. Dulu beliau menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi, pengganti pilihannya sendiri.

Tidak pula Dr Mahathir mahu semula jawatan itu. Ia diserahkan kepada DS Najib Razak, pilihan yang beliau kemudiannya terpaksa hadapi dengan berat.

Susulan itu, beliau mahu menjatuhkan Najib habis-habisan. Mula-mula melalui Deklarasi Rakyat, kemudian tubuh parti, kemudian mendominasi gabungan PH dan terkini mahu dijulang sebagai PM baru pula.

Padahal bekas pemimpin atasan negara boleh terus mengkritik, malah menentang, tokoh kerajaan tanpa perlu jawatan utama itu.

Tunku Abdul Rahman Putra juga menentang Dr Mahathir. Tidak pula beliau mahu jawatan PM semula. Malah, sebelum 2008, Dr Mahathir juga menentang Abdullah tapi tiada pula projek memerintah semula.

Jadi, apa game Dr Mahathir kini? Apa game juak-juak PPBM kini? Apa game DAP dan PAN di balik tabir penobatan kembali “agong tanpa tengkolok” ini? Siapa sebenarnya yang beriya-iya mahukan bekas diktator ini? Dr Mahathir sendiri atau tangan ghaib lain?

[ii]

Kalau setakat mahu menentang kelepektokkerasi atau menentang dasar kerajaan tertentu, Dr Mahathir boleh bergerak sebagai seorang tokoh atau pemimpin NGO sahaja, tidak perlu bergerak sebagai pemimpin parti.

Proses perlawanan politik sejak 2014 atau 2015, sejak tertonjol jelas isu 1MDB, nampaknya membuka semula nafsu berkuasa Dr Mahathir dan orang-orangnya.

Jika hal ini menjadi kenyataan, jelas beliau ingin berkuasa semula, bukan setakat membetulkan kesilapan Najib seperti didakwa-dakwa.

Jika ia menjadi kenyataan, jelas sekali pembangkang termakan pujuk rayu politik Dr Mahathir — yang sudah serik, insaf dan bertaubat, kononnya — sehingga ditarik perlahan-lahan dengan senyap dan halus.

Mungkin ada pemuja Dr Mahathir menganggap beliau sahajalah “penyelamat” bangsa ini. Demi menjatuhkan Najib, Dr Mahathirlah satu-satunya pilihan. Tetapi sejarah tidak membuktikan rekod itu.

Pemimpin tidak dinilai atas jasa dan sumbangan sahaja. Pemimpin juga harus dinilai pada onar dan kebinatangan mereka. Jadi, jangan tersilau dengan kehebatan semata-mata tanpa menyelami sisi keji seseorang tokoh.

Dengan Bantuan Mahathir, DAP Yakin Dapat Tawan Putrajaya PRU14

[iii]

Negara sudah ada enam perdana menteri. Mereka mungkin daif seperti Tun Hussein Onn atau Abdullah tetapi kita boleh terus bergerak. Yang kita mahu kawal, pemimpin yang keji atau mempunyai rekod keji.

Kata orang, lebih baik ada pemimpin lemah daripada tiada pemimpin langsung. Bagi saya, lebih baik ada pemimpin lemah yang tidak korup daripada pemimpin hebat yang keji.

Maksud saya, tokoh seperti TS Muhyiddin Yassin juga OK, kalaulah calonnya bukan DS Anwar Ibrahim. Kenapa perlu Dr Mahathir?

Sejarah politik kita banyak menunjukkan pemimpin baru menguasai jawatan tinggi. Ada yang bagus dan ada yang tidak bagus. Semua perdana menteri kita “baru” sewaktu penggal pertama.

Begitu juga menteri besar-menteri besar dan ketua-ketua menteri kita. Mereka juga “baru” pada pengalaman awal, mentah dan tidak teruji. Semua orang harus lalui saat-saat itu.

Apa masalahnya sehingga ketandusan tokoh, terpaksa menjilat semula Dr Mahathir? Apa masalahnya kita ini?

NOTA: Saya tidak percaya PH boleh menang; malah merosot berbanding 2013. Tahun ini tahun Barisan Nasional dan Najib, suka atau tidak. Sebab itu saya tidak fikir debat calon PM pembangkang ini bermanfaat.

Oleh Fathi Aris Omar
Penulis buku ‘Agong Tanpa Tengkolok’