Kenapa Syarikat Sama Yang Lakukan Kajian & Bina Terowong?

Kenapa Syarikat Sama Yang Lakukan Kajian & Bina Terowong?

Kos kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut yang luar biasa tinggi sehingga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukanlah satu-satunya keraguan yang timbul dalam projek Kerajaan DAP Pulau Pinang itu.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar berkata, kajian kebolehlaksanaan projek yang dijalankan oleh syarikat sama dianugerahkan projek berkenaan juga menimbulkan tanda tanya besar.

Menurut beliau, adalah aneh untuk syarikat pemaju yang diberi tanggungjawab melaksanakan terowong dasar laut itu turut menjalankan kajian kebolehlaksanaannya kerana jelas menimbulkan konflik kepentingan.

“Malah, sekiranya kajian kebolehlaksanaan itu mendapati projek terowong dan tiga jalan utama tersebut tidak sesuai atau wajar dilaksanakan, kos kajian tetap perlu dibayar oleh kerajaan negeri kepada syarikat atau konsortium tersebut.

“Bukankah ini satu perjanjian yang hanya menguntungkan pemaju dan merugikan penduduk Pulau Pinang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kontroversi projek terowong dasar laut bernilai lebih RM6 bilion yang kini disiasat SPRM yang turut menahan reman dua eksekutif kanan syarikat pemaju dan konsultan terbabit dengan projek itu bagi membantu siasatan.

Syarikat Terowong Pulau Pinang Raih Untung RM61.5 juta Dari Pendapatan RM51.8 juta

Sementara itu, Azizi turut menarik perhatian berkaitan tanah tambakan yang dijanjikan sebagai bayaran kepada projek tiga lebuh raya yang masih merupakan kawasan laut dan belum ditambak dan diberi hak milik.

Bagaimanapun kata beliau, syarikat konsesi itu sudah menjual ‘tanah’ tersebut kepada pihak ketiga sekali gus menimbulkan persoalan sama ada transaksi berkenaan sah dan layak dilakukan.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang menafikan telah memberikan kebenaran kepada syarikat kontraktor untuk menjual tanah itu kepada pihak ketiga.

“Tetapi apa yang menghairankan wakil mereka sendiri hadir ketika majlis menandatangani perjanjian jual beli itu sebagai saksi bersama wakil Kedutaan China,” katanya.

lim guan eng zarul Kerajaan DAP Pulau Pinang Dipersoal Benarkan Syarikat SPV Pra-Jual RM3 Bilion Tanah Negeri

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan turut melahirkan rasa hairan bagaimana syarikat yang dianugerahkan sesuatu projek turut menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek yang sama.

Ibarat meminta pelajar sekolah membuat sendiri soalan peperiksaan untuk mereka duduki, tambah beliau, hasil akhir daripada kajian kebolehlaksanaan itu kelak pastinya menimbulkan persoalan berhubung ketelusannya.

“Secara logiknya, adakah syarikat pemaju itu akan memutuskan kajian ke atas projek yang akan dijalankan mereka sendiri tidak boleh dilaksanakan kerana faktor tertentu sekali gus kehilangan kontrak bernilai berbilion-bilion ringgit?” katanya.