najib Kontroversi RM200 Juta Tanah FELDA: PM Sudah Keluar Arahan Siasat Sebelum Kes Kecoh

Kontroversi RM200 Juta Tanah FELDA: PM Sudah Keluar Arahan Siasat Sebelum Kes Kecoh

Sebuah akhbar harian tempatan bertarikh 21 Disember 2017 mendakwa berlaku urusan mencurigai berhubung perjanjian pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta.

Akhbar tersebut memetik sumbernya berkata, perjanjian memajukan tanah berkeluasan 16 hektar itu dimajukan di bawah projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) oleh syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Kata sumber berkenaan, urusan mencurigai timbul apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Menurut sumber itu, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

Perkara tersebut walau bagaimanapun telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih awal dan arahan siasatan sudah telah pun dikeluarkan sebelum kontroversi berkenaan tular.

Jelasnya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melantik sebuah firma audit luar negara untuk menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan oleh KLVC.

Ujar Perdana Menteri, laporan siasatan dijangka siap dalam tempoh 30 hari selepas arahan dikeluarkan.

“Pelantikan firma audit ini adalah susulan arahan saya kepada FELDA dalam satu surat bertarikh 11 Disember 2017, untuk menentukan sama ada berlakunya ketidakpatuhan kepada tatacara sedia ada atau berlakunya unsur-unsur salah guna kuasa dan perlakuan rasuah berkaitan projek KLVC,” ujarnya.

Arahan sisatan berkenaan juga kata Najib sudah dibawa kepada pengetahuan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang turut mengarahkan agar FELDA membuat laporan polis terhadap SPSB berikutan menjalankan pindah milik tanah tanpa pengetahuan dan kebenaran Felda.

“Saya telah mengarahkan tindakan-tindakan ini diambil bagi melindungi kepentingan FELDA dan peneroka, tidak dikompromi dan bagi memastikan tanah-tanah tersebut terus kekal menjadi milik FELDA,” kata Najib.

Tambahnya, siasatan polis juga mendapati tanah tersebut sudah dikaveat bagi memastikan kepentingan FELDA dilindungi, justeru dakwaan mendakwa tanah-tanah berkenaan sudah hilang tidak tepat.

“Tindakan undang-undang akan diambil jika siasatan firma audit luar dan polis menunjukkan adanya salah laku oleh mereka yang terbabit dalam projek ini yang telah dipersetujui pada tahun 2014,” tegas Najib lagi.

Dalam pada itu, wartawan veteran Datuk Ahirudin Attan turut menegaskan bahawa tiada elemen rasuah dalam urusan pemindahan rasuah sepertimana dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki.

“SPRM sudah menolak unsur rasuah didalam perjanjian FIC dan Synergy Promenade. Jadi kita mencari “unsur” lain, jika ianya benar-benar wujud.

“Bagaimana jika firma audit dan polis tidak menemui apa-apa? Bagaimana jika perjanjian tersebut tidak “meragukan” seperti yang dilaporkan?” soal Ahirudin.

Projek KLVC sudahpun mendapat kelulusan DBKL bagi mendirikan bangunan pejabat 68 tingkat meliputi 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.

Sumber: Malaysian Digest