Laluan RTS: Masa Perjalanan Antara Johor Bahru-Singapura Menjadi 30 Minit

Laluan RTS: Masa Perjalanan Antara Johor Bahru-Singapura Menjadi 30 Minit

Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang menghubungkan Malaysia dari Stesen  Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands North, Singapura dijangkakan mengurangkan masa perjalanan berbanding lebih sejam pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah berkata projek yang dijadualkan bermula pada 2019 akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sehingga 15 peratus sebaik sahaja memulakan operasinya menjelang akhir 2024.

Beliau berkata RTS mampu mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam satu arah (pphpd) atau 72,000 penumpang sehari, atau tambahan kapasiti 60,000 pengguna menyerberang Tambak pada masa puncak, berbanding purata  300 pphpd pada masa ini.

“Bagi memudahkan aliran penumpang, ia akan mempunyai kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar dan Woodlands North.

“Para penumpang dari kedua-dua arah akan melalui pemeriksaan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Singapura di tempat pelepasan, dan tidak  perlu melalui pemeriksaan Imigresen di balai ketibaan,” katanya pada taklimat media mengenai projek itu baru-baru ini.

Mengenai  kemungkinan menggabungkan projek RTS dengan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Mohd Azharuddin berkata ada rancangan untuk menjayakannya.

“Memang ada cadangan sambungan dari laluan HSR dari Iskandar Puteri ke RTS di Bukit Chagar pada masa depan, namun belum ada keputusan muktamad setakat ini,” katanya.

Mengenai  perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Tebrau yang kini beroperasi ke Singapura, beliau berkata operasi itu akan dihentikan enam bulan selepas perkhidmatan penumpang RTS Link bermula.

Bagi RTS, setiap negara akan melantik sebuah Syarikat Infrastruktur (InfraCo) bagi membiayai, membina, memiliki, menyelenggara, dan membaik pulih infrastruktur awam di wilayah masing-masing.

Mohd  Azharuddin berkata Prasaranan Malaysia Bhd merupakan InfraCo Malaysia, manakala InfraCo Singapura membabitkan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA).

Beliau berkata kedua-dua kerajaan akan melantik bersama syarikat operasi (OpCo) untuk memiliki, mereka bentuk, membina, membiayai, mengendalikan, menyelenggara dan memperbaharui aset operasi RTS Link seperti kereta api, trek dan sistem.

OpCo  akan membayar yuran konsesi kepada kedua-dua negara sebagai pertukaran hak untuk mengutip hasil tambang daripada operasi RTS Link. Tambang akan ditetapkan oleh  OpCo, dan tidak akan dikawal oleh kedua-dua kerajaan,” katanya.

Bagi tempoh konsesi pertama, yang merangkumi 30 tahun pertama, Mohd Azharuddin berkata kedua-dua kerajaan bersetuju bahawa OpCo akan menjadi usaha sama antara syarikat Malaysia dan syarikat Singapura.