Mahathir Lenyapkan Idea Pakatan Untuk Mansuhkan Tol

Mahathir Lenyapkan Idea Pakatan Untuk Mansuhkan Tol

Harga tambang tol tidak berubah sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menggalas tugas sebagai Perdana Menteri pada 2009 dengan menghapuskan perjanjian berat sebelah menguntungkan konsesi pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah merasionalisasikan tambang tol dilaksanakan selepas Khazanah dan KWSP mengambilalih pengurusan PLUS untuk mengimbangi mekanisme caj tol dan tidak lagi hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi sahaja.

Ada Pihak Gelisah Tol Mansuh Di Selangor

“Dibawah milikan penuh ini, perjanjian konsesi dirunding semula dan justeru semua lebuhraya milik PLUS seperti Lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Link Kedua Tuas tidak memperlihatkan kenaikan tambang tol sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009.

“Bukan itu sahaja, beberapa tol dimansuhkan sepenuhnya semasa pengumuman Bajet 2018 seperti Batu 3, Sungai Rasau, Lebuhraya EDL Johor Bahru dan Bukit Kayu Hitam,” ujarya dipetik kenyataan kepada media.

Kata Abdul Rahman, kerajaan kini juga bekerjasama dengan kerajaan Sarawak menghapuskan semua lebuhraya bertol di negeri berkenaan sejak era pemerintahan Dr Mahathir menjadikan Sarawak negeri bebas tol.

Tambah beliau, lebuhraya utama baharu seperti Lebuhraya Utama Tengah sepanjang 411km menghubungkan terus Kelantan dan Pahang serta Lebuhraya Pan Borneo sebagai sistem perhubungan lebih cekap antara Sabah dan Sarawak juga bebas tol.

Dari Lebuh Raya Rakyat Yang Gagal Menjadi Sebahagian Central Spine Road Bebas Tol

Semalam, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir mempertahankan harga tol di lebuhraya dibina pada era pemerintahannya adalah termurah berbanding negara-negara lain.

Memberi contoh, Dr Mahathir berkata tol di Jambatan Pulau Pinang cuma berharga RM7 bagi perjalanan dua hala berbanding tol di sebuah jambatan di Jepun berharga RM270 sehala.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, bayaran tol perlu dikenakan bagi membolehkan lebuh raya diselenggara.

“Fikir-fikirlah sama ada kita (kerajaan) terlalu tamak mengenakan ‘tol rate‘ terlalu tinggi? Buatlah perbandingan dengan mana-mana negara sekalipun,” katanya dipetik kenyataan disiarkan di Facebook Live beliau membicarakan polisi Pakatan Harapan.

Mahathir Pertahan Kadar Tol, Termurah Di Dunia

Mengulas perkara berkenaan, Abdul Rahman berkata kenyataan Dr Mahathir sekaligus telah melenyapkan idea Pakatan Harapan yang disertainya kini untuk menghapuskan tol sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

“Hari ini, Dr. Mahathir melenyapkan idea asal pakatan itu untuk memansuhkan tol. Beliau sendiri menjelaskan keperluan kutipan tol dan turut memberitahu bahawa kadar tersebut adalah antara yang termurah di dunia.

“Perkara seperti ini dalam pakatan tersebut hanya akan membawa kepada konflik dalaman sehingga akhirnya, rakyat yang akan menderita. Berikutan itu, saya menggesa rakyat jangan terpedaya dengan janji-janji palsu pakatan tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, idea pakatan untuk menghapuskan tol juga dianggap sebagai idea populis untuk mengelirukan rakyat.

“Pakatan Harapan mengumumkan bahawa mereka akan menghapuskan semua tol tanpa memberikan sebarang strategi, bukti atau rancangan bagaimana untuk melaksanakannya atau memberi sebarang angka samaada kos, bagaimana ianya dibiayai dan dari mana memperoleh pembiayaan itu.

“Ini adalah satu lagi tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak rasional oleh Pakatan Harapan dalam usaha untuk mendesak dan mengelirukan rakyat dengan agenda mereka,” ujar menteri itu lagi.

Sumber: Malaysian Digest