Mahathir Nafi Pecat Tun Salleh Abas, Benarkah?

Mahathir Nafi Pecat Tun Salleh Abas, Benarkah?

Tun Mahathir sudah jadi penghukum dan suka menyalahkan orang lain.Terbaru Tun Mahathir tuduh Tun Salleh Abas dipecat atas kehendak bekas Yang DiPertuan Agong ketika itu. Dia juga menyalahkan bekas Peguam Negara TS Abu Talib Othman kerana menggunakan nama beliau.

Idea Lapuk & Logik Sesat Mahathir

Abu Talib Othman menafikannya. Menurut beliau, surat Tun Salleh Abas kepada Agong bukan kerana isu bunyi bising ekoran kerja ubah suai rumah Tuanku seperti yang didakwa oleh Tun Mahathir. Tetapi surat Salleh Abas adalah berkenaan dengan rasa tidak puas hati para hakim kerana Tun Mahathir telah menyerang institusi kehakiman secara terbuka termasuk di Parlimen.

Oleh kerana Tun Salleh Abas masih hidup maka alangkah baiknya Tun Salleh memberikan penjelasan terperinci mengenainya. Kita juga ingin tahu apa pendirian Zaid Ibrahim sekarang. Masa dia jadi Menteri yang jaga undang undang 2008 dia mencadangkan supaya kerajaan memohon maaf kepada semua hakim yang dipecat ketika itu termasuk membayar pampasan. Bahkan bayaran pampasan telah dibuat.

Tun Salleh Abas terima bayaran ex-gratia (pampasan) dari kerajaan yang diwakilkan oleh Zaid Ibrahim.

Sebenarnya kita juga boleh merujuk buku “May Day for Justice” yang ditulis oleh Tun Salleh dan K Das.

Dalam buku itu dijelaskan, Tun Mahathir mula mengkritik secara terbuka Institusi “Judiciary” ekoran pemilihan UMNO 1987 di mana Tun Mahathir menang tipis ke atas Tengku Razaliegh. 11 orang ahli UMNO (asalnya 12) mengheret kes itu ke Mahkamah. Akibatnya UMNO diistihar haram tetapi keputusan pemilihan dikekalkan. 11 orang itu membuat rayuan. Sepatutnya didengar pada 13 Jun 1988. Maka di situlah menurut buku itu masalah bermula antara Tun Mahathir dengan Ketua Hakim Negara. Tun Mahathir bimbang rayuan 11 orang itu akan diterima dan pemilihan UMNO dibuat semula.

Tun Salleh yang tidak senang hati dengan kritikan terbuka itu telah mengadakan mesyuarat khas bersama 20 hakim yang lain pada 25 Mac 1988. Keputusannya ialah menghantar surat kepada Yang DiPertuan Agong untuk menyatakan rasa tidak puas hati para hakim terhadap Tun Mahathir.

Mahathir gunakan ayah saya untuk pecat Tun Salleh - Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar

Ibarat disorong bantal, Tun Mahathir didakwa mengambil kesempatan sebagai Perdana Menteri menasihatkan Yang DiPertuan Agong untuk memecat Tun Salleh Abas (Rujuk buku berkenaan). Tidak berapa lama selepas dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar mengenepikan permohonan rayuan 11 orang bekas ahli UMNO itu.

Pokoknya apakah Tun Mahathir berbohong dan kenapa menyalahkan orang lain? Kita mahu bertanya kepada Lim Kit Siang dan Bar Council. Lim Kit Siang pernah menganjurkan di Parlimen pada tahun 1989 supaya semua ahli parlimen membaca buku “May Day for Justice”. Lim Chee Wee pula (bekas Presiden Bar Council) mendesak isu ini disemak semula. Tetapi kenapa sekarang diam? Apakah mereka juga menyokong bakal Perdana Menteri Sementara Pakatan Harapan ini?

Dr Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO