Mahathir Turut Terlibat Pecat Bekas Ketua Hakim, Dedah Bekas Peguam Negara

Mahathir Turut Terlibat Pecat Bekas Ketua Hakim, Dedah Bekas Peguam Negara

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai peranan dalam kontroversi pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1998, kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Talib merupakan Peguam Negara selama 13 tahun antara 1980 hingga 1993 berkata, kontroversi yang mencetuskan ‘Krisis Perlembagaan 1988’ dimulakan oleh Dr Mahathir dengan mewujudkan tribunal menyiasat Tun Salleh Abas.

Katanya, penubuhan tribunal berkenaan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan  Agong yang pada waktu itu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail menaiki takhta.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

“Tidak benar bahawa saya telah menggunakan nama Dr Mahathir tanpa pengetahuannya. Pada masa itu, saya menasihatinya bahawa pemecatan Ketua Hakim yang masih bertugas tidak boleh dibuat tanpa mengikut Perlembagaan Persekutuan,” kata Talib dipetik NST.

“Saya juga mengingatkan Dr Mahathir bahawa selaku perdana menteri, beliau mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan mendukung Perlembagaan  Persekutuan”.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menafikan bertanggungjawab terhadap krisis yang berlaku 29 tahun lalu.

“Itu bukan saya, aduan datang daripada (Yang di-Pertuan) Agong, tetapi peguam  negara ketika itu tidak mahu menyebut Agong, sebaliknya dia menggunakan nama saya dan memberi alasan penubuhan tribunal yang tidak saya diketahui,” kata Dr  Mahathir.

Mahathir Nafi Pecat Tun Salleh Abas, Benarkah?

Jelas Talib, pemecatan Salleh cuma boleh dibuat menerusi Artikel 25 (3)  Perlembagaan Persekutuan yang mensyaratkan sebuah tribunal diwujudkan bagi memastikan salah-laku wujud sebelum Ketua Hakim Negara boleh dipecat.

“Tribunal hanya boleh diwujudkan setelah permohonan dibuat oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dan setelah Dr Mahathir dan Yang di-Pertuan Agong bersetuju tindakan perlu dilakukan, saya merangka kertas kerja yang diperlukan untuk mewujudkan tribunal  berkenaan,” dedah Talib.

Tambahnya, pemakluman mewujudkan tribunal berkenaan kepada pihak istana dijalankan sepenuhnya oleh Jabatan Perdana Menteri.

“Dalam hal ini, nama perdana menteri dan pejabatnya digunakan sepertimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan bahawa sebuah tribunal hanya boleh  ditubuhkan menerusi permohonan dibuat oleh perdana menteri.

“Perkara ini berlaku pada 1998, dan kita tidak boleh harapkan Dr Mahathir untuk ingat setiap satu maklumat mengenai apa yang berlaku pada waktu itu,” katanya  lagi.

Sumber: Malaysian Digest