Mahfuz Omar Keluar Parti Kerana PAS Sesat - Lim Guan Eng

Mahfuz Omar Keluar Parti Kerana PAS Sesat – Lim Guan Eng

Kepantasan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melabel PAS sebagai ‘sesat’ ketika mengulas tindakan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar keluar parti ditempelak oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Komen DAP (itu) lari dari apa yang Mahfuz sebutkan. Jika kita lihat kenyataan Mahfuz, tiada kena-mengena dengan PAS sesat, makin jauh… Bagi PAS, itu hak peribadinya.

“Kita tahu Mahfuz sudah lama buat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti, ini bukan perkara baru. Semua maklum beliau akan umum (keluar parti),”kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Tambahnya, isu keluar parti bukan sahaja berlaku dalam PAS, bahkan turut berlaku dalam DAP sepertimana aktivis-aktivis parti itu di Melaka dan Johor keluar parti pada tahun lalu.

Retak Dalam DAP Semakin Besar Akibat Kerjasama Dengan PPBM

“Mereka (DAP) tidak ada hak untuk komen tentang PAS. Jaga parti mereka sudahlah. PAS tahu uruskan parti sendiri.

“Bagi kita tindakan beberapa tokoh DAP keluar parti dahulu pun yang di Johor, Melaka; jika dilihat apa yang dibuat oleh DAP itu mencerminkan tindakan DAP sendiri diprotes oleh ahli-ahli mereka dan keluar parti, menyerlah sikap cauvanis, perkauman,” katanya.

Hanya Mahfuz & Keluarga Keluar PAS

Tegas Tuan Ibrahim, DAP seumpama menangguk di air keruh, mengambil kesempatan pengumuman Mahfuz keluar parti untuk menyerang PAS.

“Sikap DAP yang menentang dasar-dasar yang dibawa PAS semakin menyerlah dengan kenyataan beliau.

“Sebab itu PAS ambil keputusan bahawa tindakan DAP selama ini menjadi punca kepada sikap tak hormat kepada dasar yang diperjuangkan oleh PAS,” katanya lagi.