Majlis Peguam Sokong Pembangkang Walaupun Didakwa Dengan Rasuah & Salah Laku

Majlis Peguam Sokong Pembangkang Walaupun Didakwa Dengan Rasuah & Salah Laku

Meskipun berpegang kepada moto tanpa rasa takut, tanpa pilih kasih, Majlis Peguam pada pandangan rakyat seperti sebuah gerakan yang lebih terarah menyokong pembangkang berdasarkan tindak-tanduknya.

Ahli Majlis Peguam, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, beberapa tindakan pertubuhan itu termasuk menerusi kenyataan-kenyataan akhbarnya seolah-olah gemar mempertahankan parti pembangkang dan pemimpinnya sekali pun berhadapan dakwaan rasuah dan salah laku.

Walau bagaimanapun jelas­nya, Majlis Peguam tidak pula ‘meredakan’ keadaan ketika kerajaan terpalit dengan beberapa isu yang disensasikan termasuk semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikaitkan dengan isu-isu salah tadbir urus.

“Memang betul tanpa ragu-ragu Majlis Peguam berpegang kepada ‘tanpa rasa takut’, tetapi nampak pula seperti bersikap pilih kasih terutama terhadap parti pembangkang.

“Perkara ini perlu ditangani untuk memastikan Majlis Peguam terus dihormati dan sekali gus tidak mencemarkan persepsi imej pertubuhan guaman itu sendiri serta sistem perunda­ngan negara,” katanya semasa menjadi ahli panel sesi bertajuk Majlis Peguam: Campur Tangan Dalam Demokrasi, di sini hari ini.

Jelasnya, terdapat beberapa contoh lagi yang mempamerkan Majlis Peguam lebih berpihak kepada pembangkang seperti sokongan secara tidak langsung terhadap demonstrasi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BERSIH.

Ambiga Akui Maria Chin Dalang Sebenar BERSIH

Oleh kerana itu, kata beliau, imej Majlis Peguam boleh tercemar memandangkan rakyat kini melihat perhimpunan BERSIH lebih merupakan gerakan yang didokong oleh pembangkang untuk menentang kerajaan.

Kata Jahaberdeen, beliau sendiri merupakan Ahli Majlis Peguam dan amat menghormati pertubuhan itu justeru, baginya teguran perlu juga diberikan terhadap Majlis Peguam agar lebih dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat.

Katanya, beberapa contoh lain yang boleh mengaitkan Majlis Peguam dengan pembangkang ialah apabila mengeluarkan kenyataan seperti cuba mempertahankan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang diminta mengambil cuti atau meletakkan jawatan ekoran berhadapan pendakwaan kes rasuah serta perbi­caraan membabitkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.