Mana Janji Nak Penjarakan Mahathir? Pakatan Jilat Ludah Sendiri

Mana Janji Nak Penjarakan Mahathir? Pakatan Jilat Ludah Sendiri

Sejak 1998, pakatan pembangkang berjanji untuk memenjarakan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun ironinya 20 tahun kemudian diangkat pula menjadi Perdana Menteri pilihan sekiranya pakatan berjaya membentuk kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pembangkang selalu mendakwa ia mempunyai bukti cukup untuk memaksa Dr Mahathir dibicarakan di atas pelbagai kesalahan salah guna kuasa sepanjang tempoh 22 tahun bergelar sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Mahathir Bawa Pengaruh Mahathirisme Dalam Pembangkang

“Cogan kata pembangkang sejak 20 tahun yang lalu adalah Malaysia perlu diselamatkan dan ini hanya akan berlaku jika Dr Mahathir digulingkan daripada tampuk pemerintahan,” kata Salleh dipetik blognya.

“Dr Mahathir dikenalpasti sebagai puncanya dan jika puncanya tidak dihapuskan, maka punca segala kerosakan itu tidak boleh dikeluarkan.

“Akibatnya, timbul persepsi ramai yang bersatu menentang Dr Mahathir dan tidak bersatu di bawah Dr Mahathir”.

Jelasnya, ramai penyokong pembangkang mendukung aspirasi tersebut dan berjuang bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat itu dikatakan sebagai mangsa Dr Mahathir.

mahathir Reformasi Anwar Ibrahim Kini Jadi 'Reformati'

“Dan sebabnya dia menjadi mangsa, kata Anwar, adalah kerana beliau menentang penyalahgunaan kuasa Dr Mahathir serta mendedahkan kesalahannya.

“Hari ini, rakyat Malaysia diberitahu cerita yang berbeza dan bertentangan dengan apa yang mereka telah diberitahu selama 20 tahun yang lalu,” ujarnya merujuk kepada pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pilihan Pakatan Harapan.

Justeru Salleh menggesa pakatan menjelaskan kewajaran pencalonan Dr Mahathir selain daripada kononnya semata-mata untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selari dengan pendapat Salleh, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali ALhabshee berkata, Pakatan Harapan sanggup menjilat ludah mereka sendiri setelah sekian lama mencaci dan memaki Dr Mahathir.

Ujarnya, pencalonan Dr Mahathir sekaligus menunjukkan Pakatan Harapan tidak yakin untuk menarik sokongan rakyat dengan usaha sendiri sehingga sanggup menggunakan bekas Perdana Menteri dan pemimpin BN untuk menyingkirkan kerajaan BN.

“Secara peribadi, saya kasihan kepada Dr Mahathir yang dijadikan alat oleh pembangkang,” ujarnya.

Syed Ali dalam pada itu tidak menolak sumbangan Dr Mahathir dalam pembangunan negara namun, dikala perubahan iklim global dunia tanpa sempadan, Najib lebih dinamik untuk membawa perubahan.

“Dari sudut politik, orang boleh bercakap dengan pelbagai persepsi, termasuk menjenamakan semula Dr Mahathir oleh blok pembangkang, tetapi realitinya negara memerlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan masa,” ujarnya.

Sumber: Malaysian Digest