parti amanah negara PAN Parti Paling Lemah - PAS

PAN Parti Paling Lemah – PAS

Pembahagian kerusi gabungan pakatan pembangkang yang dimuktamadkan kelmarin membuktikan Parti Amanah Negara (PAN) sebuah parti paling lemah dalam kalangan sekutu pembangkang.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata dengan hanya memperoleh 27 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, parti serpihan PAS itu tidak diletakkan dalam kedudukan yang sewajarnya oleh parti sekutu.

Di samping itu, katanya, formula pembahagian kerusi dan ketetapan calon perdana menteri gabungan pakatan pembangkang menunjukkan kejayaan besar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam menguasai gabungan empat parti pembangkang.

amanah PAN Johor Tuntut 18 Kerusi DUN, Jika Tidak PRU14 Diboikot

“Muafakat yang dicapai Ahad lalu menunjukkan kejayaan Dr Mahathir dalam menguasai musuh politik yang memusuhi beliau sejak 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi ‘Muafakat Pakatan Harapan’, pembahagian kerusi bagi Semenanjung menyaksikan PPBM memperoleh 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan PAN (27) selain menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon timbalan perdana menteri.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, ketetapan itu juga menyaksikan gabungan pakatan pembangkang berundur ke belakang apabila mengajak rakyat kembali ke zaman gelap Dr Mahathir.

Beliau berkata, pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun menyaksikan pelbagai penyakit kronisme dan nepotisme selain tekanan kepada institusi kehakiman dan agama.

“Pelbagai skandal kewangan di zaman Dr Mahathir dulu sepatutnya sudah cukup menjadi rekod bahawa beliau tidak diperlukan oleh rakyat untuk kembali memegang jawatan Perdana Menteri,” katanya.