pan Parti Amanah Negara Tewas Sebelum Masuk Gelanggang PRU14

Parti Amanah Negara Tewas Sebelum Masuk Gelanggang PRU14

Seronok juga melihat cara parti-parti dalam Pakatan Harapan memfaraidkan sesama mereka 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS sewaktu PAS bersama di dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu.

Paling menyedihkan tentulah AMANAH yang para pemimpinnya sebelum ini berdegar-degar melaungkan ke seluruh negara kononnya AMANAH akan mengambil-alih tempat PAS di dalam Pakatan Rakyat dahulu dengan menandingi kerusi-kerusi yang PAS tandingi.

Walhasilnya, daripada 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS yang PAS tandingi dahulu, AMANAH hanya diberikan 25 kerusi sahaja (38%), berbanding 35 yang diberikan kepada PPBM, 4 kepada PKR dan 1 kepada DAP.

Di Mana Baki Agihan Kerusi Pakatan Harapan?

Markah 38% yang diperolehi oleh AMANAH ini adalah bukti nyata kegagalan awal AMANAH di dalam misi yang dilaung-laungkannya untuk kononnya menggantikan peranan PAS di dalam Pakatan Harapan dengan konsep Islam Rahmatan lil ‘Alaminnya.

Agihan kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia ini menunjukkan betapa AMANAH diperbudak-budakkan oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan sehingga menyebabkan pemimpin AMANAH meluahkan kekesalan mengenai mereka terpaksa berkorban.

Keluhan Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hasan, di dalam portal berita Free Malaysia Today, mencerminkkannya: “Hanya Amanah yang sanggup berkorban untuk gabungan pembangkang tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri.”

Kata Aminolhuda mengenai agihan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, “Kita (AMANAH) korbankan satu-satunya kerusi Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk PPBM walaupun PKR ada lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.”

PRU14: DAP & PPBM Bakal Bertanding Di Bawah Logo PKR Atau PAN?

Begitu juga dengan agihan kerusi Parlimen di Johor dalam mana Aminolhuda berkata: “Di Johor, DAP ambil alih Parlimen Ayer Hitam daripada AMANAH hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripada jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA.”

Turut dibangkitkan oleh Aminolhuda adalah pengorbanan AMANAH “yang ke depan membentuk Pakatan Harapan”, “menjadi tonggak Pakatan Harapan di Johor”, “isytihar Johor negeri barisan depan AMANAH” tetapi terpaksa menyerahkan Johor kepada PPBM.

Begitu juga dengan pendedahan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, di dalam portal berita The Malaysian Insight, bahawa Konvensyen Pakatan Harapan hampir sahaja tidak mampu dilangsungkan bila timbul kebuntuan di dalam agihan kerusi tersebut.

Kata Khalid, kebuntuan yang berlaku ekoran ketegasan semua parti mempertahankan kerusi masing-masing ini hanya berjaya dipecahkan sekali gus membolehkan konvensyen itu dilangsungkan setelah AMANAH setuju menyerahkan kerusi Titiwangsa kepada PPBM.

Tak Puas Hati Agihan Kerusi, PAN Johor Boikot Konvensyen

Kesemua ini mendedahkan mengenai ketidaktegasan para pemimpin AMANAH memperjuangkan kepentingan mereka sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai bagaimana konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin dapat diperjuangkan oleh AMANAH.

Paling ketara memperbudak-budakkan AMANAH ialah PPBM yang membolot kedua-dua kerusi AMANAH di Wilayah Persekutuan dan kedua-dua kerusi AMANAH di Perlis sehingga AMANAH langsung tidak memperolehi sebarang kerusi di dua negeri ini.

Lebih jelas lagi ialah bila kedua-dua kerusi yang AMANAH tandingi di dalam pilihan raya kecil pada 18 Jun 2016 dahulu dan yang telah AMANAH jagai sejak detik itu, iaitu kerusi-kerusi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar, pun turut dirampas oleh PPBM.

Ketamakan PPBM ini terserlah di dalam kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kepada portal berita Malaysia Kini bahawa PPBM meminta diperuntukkan bilangan kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung Malaysia, malah asalnya meminta sebanyak 80 kerusi.

Dengan Bantuan Mahathir, DAP Yakin Dapat Tawan Putrajaya PRU14

Turut memperbudak-budakkan AMANAH ialah DAP yang, mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight, menyerahkan kerusi-kerusi P135 Alor Gajah dan P165 Tanjong Piai kepada PPBM hanya untuk mendapatkan kerusi P148 Ayer Hitam milik AMANAH.

Jika betul DAP menghormati AMANAH dan konsep Islam Rahmatan lil ‘Alaminnya, mengapa tidak diberikan sahaja mana-mana kerusi milik DAP kepada AMANAH, bukan kepada PPBM, sebagai tukaran kepada kerusi P148 Ayer Hitam milik AMANAH itu?

Tidak hairanlah bila Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hasan, Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, Timbalan Pengerusi AMANAH Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed, dan lain-lain lagi membangkitkan layanan teruk terhadap AMANAH ini secara terbuka.

Semoga layanan teruk terhadap AMANAH dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini mampu menyedarkan sebahagian pendokong AMANAH betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui Pakatan Harapan.

Rafizi Sahkan PAN Setaraf Hindraf, Hanya Dibenar Bertanding 2 Kerusi Di Selangor

MARKAH PRESTASI AMANAH GANTI PAS MENGIKUT NEGERI

MARKAH PENUH IALAH 38% (25 DARIPADA 65)

PERLIS (0%): 0 DARIPADA 3

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 3 daripada 3 kerusi di Perlis, iaitu P1 Padang Besar, P2 Kangar dan P3 Arau.

Dalam PRU 14, 2 daripada kerusi PAS ini diserahkan kepada PPBM, iaitu P1 Padang Besar dan P3 Arau, meninggalkan AMANAH dengan 0 kerusi.

WILAYAH PERSEKUTUAN (0%): 0 DARIPADA 2

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 2 daripada 12 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, iaitu P119 Titiwangsa dan P125 Putrajaya.

Dalam PRU 14, kedua-dua kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, meninggalkan AMANAH dengan 0 kerusi.

MELAKA (0%): 0 DARIPADA 1

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 1 daripada 6 kerusi di Melaka, iaitu P134 Masjid Tanah.

Dalam PRU 14, kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM.

AMANAH bagaimanapun diberikan kerusi P139 Jasin milik PKR dalam PRU 14.

PAHANG (17%): 1 DARIPADA 6

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 6 daripada 14 kerusi di Pahang, iaitu P79 Lipis, P81 Jerantut, P86 Maran, P87 Kuala Krau, P88 Temerloh dan P91 Rompin.

Dalam PRU 14, 4 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P79 Lipis, P81 Jerantut, P86 Maran dan P87 Kuala Krau, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P91 Rompin, meninggalkan AMANAH dengan 1 kerusi, iaitu P88 Temerloh.

JOHOR (25%): 2 DARIPADA 8

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 8 daripada 23 kerusi di Johor, iaitu P143 Pagoh, P147 Parit Sulong, P148 Ayer Hitam, P151 Simpang Renggam, P154 Mersing, P155 Tenggara, P156 Kota Tinggi dan P161 Pulai.

Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P143 Pagoh, P151 Simpang Renggam, P154 Mersing, P155 Tenggara dan P156 Kota Tinggi, manakala 1 lagi diagihkan kepada DAP, iaitu P148 Ayer Hitam, meninggalkan AMANAH dengan 2 kerusi, iaitu P147 Parit Sulong dan P161 Pulai.

KEDAH (38%): 3 DARIPADA 8

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 8 daripada 14 kerusi di Kedah, iaitu P5 Jerlun, P6 Kubang Pasu, P7 Padang Terap, P8 Pokok Sena, P11 Pendang, P12 Jerai, P13 Sik dan P16 Baling.

Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diserahkan kepada PPBM, iaitu P5 Jerlun, P6 Kubang Pasu, P11 Pendang, P12 Jerai dan P16 Baling, meninggalkan AMANAH dengan 3 kerusi, iaitu P7 Padang Terap, P8 Pokok Sena dan P13 Sik.

PERAK (43%): 3 DARIPADA 7

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 24 kerusi di Perak, iaitu P54 Gerik, P55 Lenggong, P56 Larut, P57 Parit Buntar, P59 Bukit Gantang, P67 Kuala Kangsar dan P69 Parit.

Dalam PRU 14, 4 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P54 Gerik, P55 Lenggong, P56 Larut dan P67 Kuala Kangsar, meninggalkan AMANAH dengan 3 kerusi, iaitu P57 Parit Buntar, P59 Bukit Gantang dan P69 Parit.

AMANAH juga diberikan kerusi P74 Lumut milik PKR dalam PRU 14.

TERENGGANU (43%): 3 DARIPADA 7

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 8 kerusi di Terengganu, iaitu P33 Besut, P34 Setiu, P35 Kuala Nerus, P36 Kuala Terengganu, P37 Marang, P38 Hulu Terengganu dan P39 Dungun.

Dalam PRU 14, 3 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P33 Besut, P34 Setiu dan P38 Hulu Terengganu, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P39 Dungun, meninggalkan AMANAH dengan 3 kerusi, iaitu P35 Kuala Nerus, P36 Kuala Terengganu dan P37 Marang.

KELANTAN (45%): 5 DARIPADA 11

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 11 daripada 14 kerusi di Kelantan, iaitu P19 Tumpat, P20 Pengkalan Chepa, P21 Kota Bharu, P22 Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian, P25 Bachok, P28 Pasir Puteh, P30 Jeli, P31 Kuala Krai dan P32 Gua Musang.

Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P19 Tumpat, P25 Bachok, P28 Pasir Puteh, P30 Jeli dan P32 Gua Musang, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P22 Pasir Mas, meninggalkan AMANAH dengan 5 kerusi, iaitu P20 Pengkalan Chepa, P21 Kota Bharu, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian dan P31 Kuala Krai.

PULAU PINANG (50%): 1 DARIPADA 2

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 2 daripada 13 kerusi di Pulau Pinang, iaitu P41 Kepala Batas dan P42 Tasek Gelugor.

Dalam PRU 14, 1 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P42 Tasek Gelugor, meninggalkan AMANAH dengan 1 kerusi, iaitu P41 Kepala Batas.

NEGERI SEMBILAN (67%): 2 DARIPADA 3

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 3 daripada 8 kerusi di Negeri Sembilan, iaitu P126 Jelebu, P127 Jempol dan P133 Tampin.

Dalam PRU 14, 1 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P127 Jempol, meninggalkan AMANAH dengan 2 kerusi, iaitu P126 Jelebu dan P133 Tampin.

SELANGOR (71%): 5 DARIPADA 7

Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 22 kerusi di Selangor, iaitu P93 Sungai Besar, P95 Tanjong Karang, P96 Kuala Selangor, P101 Hulu Langat, P108 Shah Alam, P111 Kota Raja dan P113 Sepang.

Dalam PRU 14, 2 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P93 Sungai Besar dan P95 Tanjong Karang, meninggalkan AMANAH dengan 5 kerusi, iaitu P96 Kuala Selangor, P101 Hulu Langat, P108 Shah Alam, P111 Kota Raja dan P113 Sepang.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).