xavier jayakumar PAS Selangor Tidak Wajar Tuntut Peruntukan Jika Lawan Pakatan Harapan - Naib Presiden PKR

PAS Selangor Tidak Wajar Tuntut Peruntukan Jika Lawan Pakatan Harapan – Naib Presiden PKR

PAS tidak harus menuntut peruntukan daripada kerajaan negeri untuk wakil rakyatnya jika nekad mahu “berperang” dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Selangor berkata masalah ADUN PAS di negeri itu mendapat peruntukan wakil rakyat harus di lihat dalam konteks yang rasional.

“Saya tak berapa tahu bahawa peruntukan untuk PAS diberhentikan atau sebagainya. Tapi pendirian saya, PAS perlu buat keputusan. Anda tak boleh duduk dalam kerajaan negeri Selangor, kemudian anda kata dalam pilihan raya nak bertanding di semua kawasan menentang PKR, Amanah dan DAP.

“Pada masa yang sama, anda mahu juga peruntukan daripada kerajaan negeri. Tak boleh macam tu,” katanya kepada Antarapos.

Xavier menambah, sebagai sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri, PAS sewajarnya mempunyai pendirian politik yang jelas lebih-lebih lagi kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kita sudah sabar dan tunggu lama untuk mereka buat keputusan, sekarang dalam 100 hari kita akan ada pilihan raya tapi mereka tak buat keputusan apa-apa pun (nak sertai PH atau tidak),” katanya.

Sekat Peruntukan: Usaha Terakhir Azmin Peras Ugut PAS Selangor?

Xavier yang juga Naib Pengerusi PKR Selangor berkata terserah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat keputusan mengenai isu peruntukan berkenaan.

Desas-desus sekatan peruntukan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan lima penyelaras DUN oleh kerajaan negeri sudah mula bertebaran hujung tahun lalu.

Pimpinan PAS Selangor mengesahkan 13 wakil rakyatnya di Selangor tidak lagi memperolehi peruntukan daripada kerajaan negeri, sekali gus memaksa sesetengah program mereka terpaksa dibatalkan atau dibiayai dengan wang persendirian mereka.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad yang juga ADUN Cempaka berkata beliau berpegang kepada kenyataan menteri besar bahawa peruntukan itu tidak dapat disalurkan seperti kebiasaan kerana masalah teknikal dan bukan kerana kepentingan politik.

azmin Sekat Peruntukan: PAS Ingin Menghadap Sultan Selangor

“MB kata bukan beku tapi ada masalah teknikal. Saya pegang dengan kata-kata MB itu dan harap perkara dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Sekarang program-program ADUN PAS terpaksa diberhentikan atau perlu menggunakan duit peribadi,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan meminta Azmin mengadakan mesyuarat dengan mereka bagi memperjelaskan mengapa peruntukan tahunan sebanyak RM800,000 kepada wakil rakyat PAS belum diperolehi.

Sallehen juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memohon menghadap Sultan Selangor jika isu pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat parti itu tidak diselesaikan segera.