Pelantikan Perunding Langkah Penting Ke Arah Pembinaan Jambatan Labuan

Pelantikan Perunding Langkah Penting Ke Arah Pembinaan Jambatan Labuan

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelantikan perunding kejuruteraan untuk mengkaji aspek tekno-ekonomi Jambatan Labuan adalah langkah penting ke arah pembinaan Jambatan Labuan, projek yang lama ditunggu-tunggu oleh penduduk Labuan dan Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abd Rahman Dahlan berkata kajian perunding itu bukan kajian ekonomi sosial seperti yang telah dijalankan oleh universiti.

“Ini adalah kajian tekno-ekonomi yang merangkumi kejuruteraan, teknikal, pemodelan kewangan dan lain-lain. Ini merupakan kajian penting sebelum kita boleh mula membina jambatan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman tweeternya hari ini.

Beliau berkata projek Labuan-Menumbok merupakan satu lagi visi besar Perdana Menteri untuk menyediakan kesalinghubungan kepada rakyat Malaysia.

“Jambatan tersebut adalah satu lagi projek pencetus perubahan di bawah visi jangka panjang Perdana Menteri. Visinya untuk Malaysia berjalan lancar,” kata beliau.

Abdul Rahman berkata jambatan itu bukan hanya untuk Labuan tetapi juga untuk wilayah selatan Sabah dan wilayah utara Sarawak.

“Kawasan-kawasan tersebut akan menerima rangsangan ekonomi melalui pembinaan jambatan sebagai pemangkinnya. Bayangkan penduduk di Sipitang, Sabah dan Lawas, Sarawak tidak lagi perlu memandu selama berjam-jam ke Kota Kinabalu untuk menaiki penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Sekarang, mereka hanya perlu memandu ke Lapangan Terbang Labuan melalui jambatan tersebut,” kata beliau.