Pembangkang Kena Minta Maaf Kepada Mahathir - Fathi Aris Omar

Pembangkang Kena Minta Maaf Kepada Mahathir – Fathi Aris Omar

Jangan-jangan selepas ini pembangkang yang kena minta maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana asyik fitnah beliau berpuluh-puluh tahun!

Sudah dua RCI dibuat bagi mencari dosa-dosa (jenayah) Dr Mahathir, sampai sekarang beliau masih steady, tidak diseret ke mahkamah, oleh itu tidak bersalah.

Jangan-jangan memang betullah keputusan Dr Mahathir memecat DS Anwar Ibrahim kerana rendah akhlaknya. Cuma Tun dulu kurang bukti tetapi zaman DS Najib Razak makin jelas. Ada video sekali!

Saya sudah mula percaya Tun ini memang baik dan bagus tetapi kerjaya politiknya selalu kena fitnah pembangkang. Dahsyat rupa-rupanya politik fitnah ini. Tidak cukup fitnah Tun dan demonstrasi, bela pula perut kempes Anwar untuk tunjukkan dia jadi mangsa.

Diktator & Gila Kuasa: Tun Mahathir Mudah Lupa

[ii]

Kalau pembangkang menang dalam PRU14, ternyatalah selama ini mereka menyebar fitnah semata-mata, konon pilihan raya tidak bebas, tidak adil, dan senget sebelah.

Rupa-rupanya sebelum ini pilihan raya difitnah tidak betul sebab orang FELDA dan orang kampung tidak sokong! Selepas menang nanti, selepas dapat undi FELDA dan orang kampung, apa perlu lagi reformasi sistem pilihan raya, kan?

Macam di mahkamahlah. Kalau pembangkang menang kes, hakim adil dan berani. Kalau pembangkang kalah, ada campur tangan eksekutif dan undang-undang diperalatkan!

Saya insaf atas tanggapan silap saya pada Tun ini selepas membaca sekalian banyak orang yang boleh menerima Tun. Seperti orang ramai, saya juga ingin ikut angin dan ikut arus semasa. Saya ingin bersama majoriti.

Jika saya kecam Tun dulu, itu juga kerana saya terpedaya dengan fitnah pembangkang. Maafkan saya.

Oleh Fathi Aris Omar
Penulis buku ‘Agong Tanpa Tengkolok’