Pinjam China RM155 Bilion: Malaysia Bakal Jadi Negara Hutang Seperti Sri Lanka?

Pinjam China RM155 Bilion: Malaysia Bakal Jadi Negara Hutang Seperti Sri Lanka?

Dengan nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara  pada kadar 50.9% kini, tambahan hutang RM155 bilion daripada China untuk  membina projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembangunan bandar Forest City didakwa menjadikan Malaysia sebagai negara dengan kadar keberhutangan tinggi.

RM155 bilion merangkumi RM55 bilion pembiayaan China kepada projek ECRL dan RM100 bilion bagi pembangunan Forest City bagi tempoh 20 tahun – bersamaan RM5 bilion setahun.

Penganalisis politik, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff berkata, tersebar sebuah klip video di laman sosial termasuk di Facebook dan perbualan Group Whatsapp bahawa Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka dengan menghabiskan  sebahagian besar KDNK negara membayar hutang kepada China.

Hutang Luar Negara RM900 Bilion, Negara Akan Bankrap? Jawab 3 Soalan Ini Dahulu

Video berkenaan membandingkan antara kerjasama China-Sri Lanka berhubung Pelabuhan Laut Dalam Hambantota dengan pelaburan China di Malaysia yang kedua-duanya mencecah berbilion ringgit.

“Secara dasarnya, bunyinya amat menakutkan untuk berhutang sejumlah wang daripada China untuk membina projek (ECRL dan Forest City) ini terutama bagi mereka yang diberi  maklumat salah. Tetapi membandingkan Malaysia kepada Sri Lanka amatlah tidak adil,” ujarnya dipetik blog beliau, Seademon Says.

Jelasnya, dengan kos US$1 bilion (RM4.06 bilion), Pelabuhan Hambantota berdepan masalah paras air terlalu cetek untuk pergerakan kapal dagang besar dan Lapangan Tebang Mattala Rajapaksa yang terletak 30 kilometer daripada pelabuhan berkenaan pula diiktiraf sebagai lapangan terbang paling sunyi di dunia berikutan hanya mampu menerbangkan beberapa ratus penumpang seminggu.

“Kedua-dua pelabuhan dan lapangan terbang tidak boleh menjana pendapatan mencukupi untuk mengekalkan operasi apatah lagi untuk membayar balik pinjaman  kepada negara China”.

Daripada KDNK US$81.32 bilion, Sri Lanka menghabiskan 95.4% pendapatan negaranya untuk membayar hutang yang pada waktu ini mencecah US$65 bilion berbanding bersamaan 75% nisbah hutang kepada KDNK.

Malaysia dalam pada itu dilimpahi jumlah aset dan KDNK jauh lebih tinggi daripada Sri Lanka – menjadikan Malaysia mampu untuk membayar hutang RM155  bilion daripada China atau sekiranya China memutuskan untuk membatalkan perjanjian pinjaman berkenaan.

“KDKNK kita kini sekitar US$320.25 bilion (RM1.3 trilion) untuk 2017 menjadikan kos projek ECRL adalah 4.1% daripada KDNK sementara Forest City menelan belanja kira-kira 1.6% daripada KDNK tahunan.

“Jumlah hutang kerajaan seperti yang dilaporkan sehingga hujung Jun 2017 adalah pada RM685.1 bilion atau 50.9% daripada KDNK. Daripada jumlah ini, RM662.4 bilion adalah hutang domestik manakala RM22.7 bilion adalah hutang persisir,” jelas Abdul Rahmat sambil menambah kadar rizab asing negara kini berjumlah RM414.71 bilion.

Rizab Antarabangsa, Ramai Yang Jilat Semula Ludah Sendiri

Jika menggunakan kaedah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membiayai projek mega menggunakan aset-aset negara pun Malaysia mampu, berikutan aset cair Petronas kini berjumlah RM129 bilion, KWSP berjumlah RM771 bilion dan banyak lagi aset negara termasuk Khazanah, Tabung Haji, KWAP, SOCSO, PNB dan lain-lain.

Ujar Abdul Rahmat lagi, jika nisbah 50.9% kadar hutang negara kepada KDNK amat menakutkan, imbas kembali sewaktu pemerintahan Dr Mahathir di mana hutang nisbah berkenaan mencecah 103.4%, ditambah lagi 24% KDNK negara hilang sewaktu pemerintahannya antara tahun 2000 hingga 2008.

“Sebagai perbandingan, nisbah hutang kepada KDNK Singapura pada 112% iaitu di tempat kesepuluh daripada 17 negara mempunyai kadar hutang kepada KDNK  tertinggi disenarai oleh Business Insider UK. Jepun ditangga pertama dengan  239.2%.

“Namun, kita tidak jatuh bankrap dahulu. Jadi mengapa kita perlu takut nisbah  hutang kepada KDNK pada 50.9% dengan dasar ekonomi lebih kukuh apabila  kita pernah mencapai hutang 103.4% ketika ekonomi lebih teruk?

“Dan Singapura dan Jepun juga tidak bankrap,” tegasnya lagi.

Sumber: Malaysian Digest