PPBM Hanya Dapat Kerusi 'Gred C' - PERKASA

PPBM Hanya Dapat Kerusi ‘Gred C’ – PERKASA

PPBM hanya mendapat 52 buah kerusi ‘gred C’ dalam pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan.

Itu pandangan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan berkata, PPBM memperoleh lebih satu kerusi berbanding PKR yang mendapat 51 buah kerusi, manakala PAN dan DAP masing-masing dengan 27 serta 35 kerusi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu berkata, namun bagi PPBM yang merupakan parti baharu, jumlah kerusi ini adalah baik.

Mahathir Cantas Muhyiddin Jawatan PM, Dakwa Bekas Pengasas PPBM

“Tapi bila dilihat, ia hanya kerusi gred C. Itu kerusi yang saya rasa bolehlah dipertandingkan, tapi tidak mudah untuk mereka (PPBM).

“Saya sudah terlibat dengan politik sejak 35 tahun lalu lagi, bagi saya PKR adalah pemenang kerana kerusi yang dipertandingkannya adalah kerusi yang majoriti akan dimenangi mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Perkasa, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pandangan yang diberikannya tidak memihak kepada mana-mana kepimpinan dan sekiranya berkaitan, itu hanya secara kebetulan.

Mengulas tentang kekuatan DAP, Ibrahim berkata, parti itu seperti biasa kekal dengan kekuatan mereka.

Katanya, bagi pengundi Cina, sudah banyak kali PRU, ia akan pergi ke DAP, apatah lagi dengan suasana yang ada sekarang.

DAP Sokong Mahathir Sebagai Perdana Menteri - Lim Guan Eng

“DAP agak selesa, PKR pula lebih baik berbanding PPBM daripada segi kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Ketika ditanya ramalan jumlah kerusi yang akan dimenangi PPBM dalam PRU nanti, Ibrahim berkata, bukan tugasnya untuk membuat ramalan itu.

“Saya tidak boleh meramal berapa jumlah kerusi yang mereka (PPBM) akan menang,” katanya yang turut menegaskan terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan dalam mengundi nanti.

Semalam, sebuah portal tempatan melaporkan, Pakatan Harapan memutuskan PPBM untuk bertanding sebahagian besar kerusi di Semenanjung Malaysia pada PRU14 nanti.