Projek Terowong Pulau Pinang: Sudah 4 Tahun Terbengkalai, Lebih RM3 Bilion Tergadai

Projek Terowong Pulau Pinang: Sudah 4 Tahun Terbengkalai, Lebih RM3 Bilion Tergadai

Sebanyak tujuh syarikat dan agensi kerajaan negeri Pulau Pinang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berikutan dakwaan penyelewengan dana pembangunan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Serbuan dibuat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta pejabat Jabatan Penilaian di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar); pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang; pejabat syarikat pemaju Ewein-Zenith di Menara Boustead; pejabat 555 Capital Diamond Valley dan pejabat Konsortium Zenith.

Hasil serbuan, SPRM merampas sejumlah dokumen untuk diteliti dan beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Terowong Dasar Laut: SPRM Serbu Syarikat & Pejabat Kerajaan Pulau Pinang

Timbalan Pasukan Komunikasi Strategik BN (BNSC) Datuk Eric See-To Choong dipetik Facebooknya berkata, kerajaan negeri diterajui Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, telah menghabiskan sejumlah besar dana termasuk gadaian tanah negeri bagi tujuan pembangunan projek berkenaan.

Walaubagaimanapun, projek yang sepatutnya memulakan pembinaan empat tahun lalu masih belum berjalan.

“RM220 juta daripada RM305 juta telah dibayar sebagai yuran untuk melakukan kertas kerja, sementara lebih RM3 bilion tanah negeri dan hak tanah telah dijual atau sedang dijual kepada pemaju swasta bagi projek hartanah nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion sungguhpun laporan masih belum lengkap dan kerja pembinaan Terowong Pulau Pinang atau jalan raya masih belum dimulakan,” ujarnya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang Perlu Jelaskan Lebihan Bayaran Yuran Rundingan RM136.4 Juta

Siasatan SPRM terhadap projek kontroversi berkenaan berikutan pendedahan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendakwa kerajaan Pulau Pinang telah menganugerahkan projek berkenaan kepada syarikat yang mempunyai modal di bawah paras yang ditetapkan.

Kata Cheng Guan, syarikat berkenaan memiliki modal 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras yang ditetapkan bagi memajukan projek mega bernilai RM15 bilion.

Perkara ini juga pernah didedahkan BNSC tahun lalu di mana projek RM15 bilion itu merangkumi pembinaan 8 lebuhraya yang menghubungi pulau dan tanah besar bernilai RM400 juta, pembinaan lebuhraya Pan Island Link 1 (RM7.5 bilion) dan Projek Dermaga Gurney bernilai jutaan ringgit yang kesemuanya dibayar oleh kerajaan negeri.

Ikuti pendedahan penuh BNSC berhubung projek RM15 bilion Terowong Pulau Pinang di sini.